KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,797 tan metrik pada Disember 2022 menurun 4.2 peratus berbanding November 2022 (50,927 tan metrik).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 47.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2022 diikuti Jerman (4.2%), Amerika Syarikat (4.2%), Iran (4.1%) dan Brazil (2.6%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli meningkat 8.9 peratus pada bulan Disember 2022
(30,556 tan metrik) berbanding pada bulan November 2022 (28,048 tan metrik).
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 26.7 peratus (Disember 2021: 41,690 tan metrik).
Beliau menambah, pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (86.7%)
berbanding sektor estet (13.3%).
Jumlah stok getah asli pada Disember 2022 meningkat 4.1 peratus kepada 201,359 tan metrik berbanding 193,396 tan metrik pada November 2022.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.9 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.0%) dan estet getah (0.1%).
Mohd Uzir menambah, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.09 billion pada Disember 2022, meningkat 1.5 peratus berbanding November 2022 (RM1.07 billion).
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 0.5 peratus (Disember 2022: 470.21 sen sekilogram, November 2022: 472.58 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat 4.0 peratus (Disember 2022: 461.20 sen sekilogram, November 2022: 443.36 sen sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula adalah antara – 0.5 peratus hingga 1.1 peratus.
World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing meningkat 6.0 peratus (daripada AS$1.27/kg kepada AS$1.35/kg) dan meningkat 7.2 peratus (daripada AS$1.43/kg kepada USD1.54/kg).
Prestasi suku keempat 2022 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 18.5 peratus kepada 90,399 tan metrik berbanding 110,969 tan metrik pada suku ketiga 2022.
Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2022 pula mencatatkan penyusutan 21.6 peratus berbanding suku keempat 2021 (115,310 tan metrik).
Di samping itu, prestasi keseluruhan pengeluaran getah asli tahunan pada 2022 menunjukkan penurunan 19.7 peratus kepada 377,047 tan metrik berbanding 469,669 tan metrik pada 2021.
Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest Disember 2022, sentimen pasaran menurun yang menyumbang kepada penurunan dalam pengeluaran kilang di peringkat global pada bulan lepas (November 2022) dengan penguncupan aktiviti perkilangan Amerika Syarikat untuk pertama kali dalam dua tahun setengah dan kesan sekatan COVID-19 di China. – MalaysiaGazette