Dr Ibrahim Komoo

KUALA LUMPUR – Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu dan berkuat kuasa hari ini.

Kesatuan Kakitangan Am, Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas lantikan tersebut.

Presiden KEPERTAMA, Norsyahriman Md. Arif dalam kenyataan hari ini berkata, ia merupakan keputusan tepat yang dibuat oleh menteri yang menggembirakan warga UPM.

Presiden KEPERTAMA, Norsyahriman Md. Arif

Jelasnya, KEPERTAMA yakin dan percaya Ibrahim mampu memikul amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang sekaligus akan melonjakkan nama UPM di seantero dunia.

“Sebagai sebuah kesatuan sekerja, KEPERTAMA menaruh harapan yang tinggi kepada beliau selaku LPU UPM yang baharu agar sedaya upaya membantu UPM untuk menjadi sebuah universiti terunggul dalam negara dan bereputasi antarabangsa.

“Selain itu, harapan agar beliau dapat melontarkan idea dan menzahirkan komitmen ke arah memastikan UPM menjuarai pelbagai bidang utama dalam negara khususnya dalam bidang pertanian dan memperhalusi semula peranan serta sumbangan UPM Holdings yang seharusnya menjadi penyumbang utama dalam pengukuhan kewangan universiti.

“Seterusnya, berharap supaya beliau punyai iltizam yang tinggi untuk memantau tadbir urus dan tata kelola UPM dalam usaha membanteras gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebarang bentuk penyelewengan dan berusaha menambah baik ekosistem pekerjaan agar lebih sejahtera, harmoni dan kondusif,” katanya.

Mengulas lanjut, Norsyahriman berkata, KEPERTAMA sentiasa terbuka untuk dipanggil berbincang mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan hal ehwal universiti.

“KEPERTAMA berpandangan ruang perbincangan dan proses perundingan bersama kesatuan adalah amat penting terutama dalam mendepani pelbagai cabaran getir yang mendantang,” jelasnya.

Dalam pada itu, KEPERTAMA mengucakpkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri DiRaja Syed Razlan ibni Syed Putra Jamalullail atas segala jasa baik dan sumbang baktinya kepada warga UPM sepanjang menggalas tugas sebagai LPU UPM mulai 6 Julai 2020 yang lalu. – MalaysiaGazette