KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) tumbuh 3.0 peratus pada bulan Disember 2022 selepas mencatatkan peningkatan 4.8 peratus pada November 2022.
Pengembangan pada bulan Disember 2022 dipacu oleh indeks perlombongan (4.1%) dan indeks pembuatan (3.0%) manakala indeks elektrik menyusut kepada negatif 1.1 peratus pada bulan berkenaan.
Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 0.6 peratus berbanding pertumbuhan 0.9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, output di sektor pembuatan berkembang 3.0 peratus pada bulan Disember 2022 dipacu oleh produk peralatan elektrik & elektronik (7.2%); kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (8.5%); produk makanan, minuman & tembakau (3.4%); dan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (2.2%).
Penurunan yang lebih kecil dicatatkan dalam output produk petroleum, kimia, getah dan plastik (-0.9%); dan produk tekstil, pakaian, kulit & kasut (-0.5%).
Sementara itu, pengeluaran produk kayu, perabot, produk kertas & percetakan terus menyusut sebanyak 4.3 peratus (November 2022: -3.6%).
Pengeluaran industri berorientasikan eksport meningkat 2.7 peratus (November 2022: 5.1%) manakala industri berorientasikan domestik naik 3.8 peratus (November 2022: 4.3%).
Pengembangan industri berasaskan eksport diterajui oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal; dan pembuatan kok & produk petroleum bertapis.
Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disokong terutamanya oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler; dan
pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan.
Bagi perbandingan dengan bulan November 2022, indeks pembuatan merosot 1.2 peratus berbanding pertumbuhan marginal sebanyak 0.7 peratus yang direkodkan pada bulan lalu.
Mohd Uzir berkata, output di sektor Perlombongan meningkat 4.1 peratus pada bulan Disember 2022 setelah berkembang sebanyak 6.1 peratus pada bulan November 2022 disokong oleh kenaikan 5.1 peratus dalam indeks minyak mentah & kondensat dan 3.3 peratus dalam indeks gas asli.
Berbanding bulan sebelumnya, indeks perlombongan tumbuh 1.1 peratus (November 2022: 3.5%).
Bagi keseluruhan suku terakhir tahun 2022, IPP meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 4.1 peratus (ST3 2022: 12.2%) berbanding suku yang sama tahun sebelumnya dipengaruhi oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (4.0%) dan indeks perlombongan (6.2%).
Sementara itu, indeks elektrik menyusut 0.5 peratus. – MalaysiaGazette