Pasukan penyelamat Syria mencari mangsa-mangsa gempa bumi yang terperangkap dalam bangunan. foto Twitter The Syria Campaign

DAMSYIK – Kota Aleppo yang dilanda perang Syria adalah antara kawasan yang menanggung beban akibat gempa bumi yang turut memusnahkan bahagian selatan Turki.

Lebih 1,000 orang dilaporkan terkorban setakat ini di utara Syria susulan gempa itu.

Pasukan penyelamat kecemasan berkata, banyak bangunan rosak atau musnah dan orang ramai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Wilayah ini adalah tempat kepada berjuta-juta pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat perang saudara di Syria.

Kawalan utara Syria yang terlibat dalam konflik dibahagikan antara kerajaan, pasukan pimpinan Kurdish dan kumpulan pemberontak lain.

Malah sebelum gempa bumi, keadaan di kebanyakan wilayah adalah kritikal, dengan cuaca sejuk, kemusnahan infrastruktur dan wabak taun menyebabkan kesengsaraan bagi kebanyakan mereka yang tinggal di sana.

Menurut angka berasingan daripada kerajaan Syria dan kumpulan penyelamat White Helmets, yang beroperasi di kawasan yang dikawal pemberontak, lebih 1,000 orang telah terkorban di wilayah itu setakat ini selepas gempa bumi.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan (01:17 GMT) pada kedalaman 17.9km (11 batu) berhampiran bandar Gaziantep di Turki.

Kali kedua gempa selepas 12 jam kemudian, melanda 130km (80 batu) ke utara.

Jurucakap White Helmets menyifatkan barat laut Syria sebagai kawasan bencana dan mendakwa banyak keluarga masih terperangkap di bawah runtuhan.

Di kawasan yang dikawal kerajaan, semua perkhidmatan kecemasan negara telah disediakan, termasuk tentera dan sukarelawan pelajar.

Namun, cuaca beku dan hujan lebat menjejaskan usaha-usaha menyelamat, sekali gus menyebabkan Syria yang berada dalam kemelut kini menghadapi krisis yang lebih mencabar.

Apatah lagi, sebahagian besar wilayahnya tidak dapat dihubungi kerana kerosakan pada rangkaian komunikasi.

Keadaan ini mungkin menyebabkan bantuan antarabangsa mengambil masa untuk tiba.

Kakitangan hospital pula memberitahu, Hospital al-Shifa di Idlib kini dalam keadaan paling teruk ekoran gempa bumi kerana terpaksa menerima pesakit melebihi kapasitinya.

Seluruh kawasan kejiranan dan infrastruktur penting, termasuk hospital, di seluruh Syria sudahpun musnah akibat pertempuran sebelum gempa bumi melanda.

Kerajaan telah meminta bantuan antarabangsa secara khusus kepada negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan kumpulan kemanusiaan lain kecuali Israel. – Agensi