Datuk Mas Ermieyati Samsudin bergambar selepas diumumkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Pejabat PN, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Mahkamah Tinggi Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini mengisytiharkan pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah sah.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas menolak petisyen pilihan raya itu dengan kos sebanyak RM20,000 yang difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Anselm menetapkan keputusan itu selepas berpuas hati apabila dua daripada empat perkara dihujahkan responden bahawa pempetisyen gagal patuhi peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Dalam keputusannya, beliau turut mengisytiharkan Mas Ermieyati kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid tanah dan dipilih melalui proses yang sah menyaksikan beliau menang dengan majoriti 4,411 undi.

Beliau berkata, dua perkara yang mempunyai merit pembatalan itu adalah petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah termasuk fakta bagaimana beberapa individu dinamakan dalam petisyen itu mempunyai hubungan dengan responden atau dilantik sebagai ejennya.

“…tidak ada bukti sehingga ia boleh dijangkakan dengan kemunasabahan ia telah menyentuh keputusan pilihan raya itu dan oleh kerana ini ia munasabah oleh mahkamah untuk membatallam petisyen ini dengan kos RM20,000.

“Kos ini hendaklah dibayar kepada responden dan di bawah Seksyen 36 (1) saya mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya P134 pada PRU15 adalah sah,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim yang diwakili peguam Rosfinah Rahmat memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

Mas Ermieyati yang merupakan responden melalui peguamnya Mohd Faizi Che Abu kemudiannya mengemukakan bantahan awal antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar masa ditetapkan.

Sementara itu, Rosfinah berkata akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dalam tempoh terdekat sebelum 14 hari masa yang diberikan.

“Anak guam kami meminta kami memfailkan rayuan kerana percayaada alasan-alasan yang boleh dirayu dalam kes ini,” katanya.

Pada PRU15, Mas Ermieyati (PN-Bersatu) menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang) – MalaysiaGazette