Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media pada Lawatan Kerja melihat pekembangan (MRT) Laluan Putrajaya di Depoh MRT Sungai Buloh, Selangor. Foto MUHD NA’IM 07 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan mengunjurkan peningkatan purata penumpang harian kira-kira 200,000 dalam masa tempoh dua tahun bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya yang akan mula beroperasi sepenuhnya pertengahan Mac ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, status MRT laluan Putrajaya Fasa Dua kini sudah siap 99.9 peratus dan berharap ia dapat menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam itu kelak.

“Kita jangka dalam tempoh satu hingga dua tahun, ia mampu mencecah 200,00 penumpang harian, itu memang harapan kami.

“Kita juga tahu seperti mana -mana perkhidmatan MRT atau LRT (Transit Aliran Ringan), ia akan mebgambil masa untuk mencapai sasaran itu.

“Seperti MRT Satu (MRT Laluan Kajang), kita bermula dengan jumlah yang rendah tetapi kemudian ia telah mencecah kira-kira 200,000 sekarang dengan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk capai jumlah itu,” katanya pada sidang media di Depoh MRT Sungai Buloh hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua kanan) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (MRT) Corp,Datuk Zariff Hashim (tengah ) semasa Lawatan Kerja pekembangan (MRT) Laluan Putrajaya di MRT Putrajaya Sentral, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM 07 FEBRUARI 2023.

Terdahulu, Anthony bersama timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah mengadakan lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya bermula daripada stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa sebelum menuju ke stesen Kwasa Damansara.

Tambah Anthony, projek MRT laluan Putrajaya telah menelan belanja sebanyak RM30.53 bilion meliputi kos pembinaan dan kos sistem malah ia melibatkan 36 stesen serta 49 set kereta api.

Katanya, apabila perkhidmatan itu mula beroperasi Mac nanti, ia akan dimulakan dengan frekuensi lima minit untuk setiap tren.

Susulan pembukaan MRT Fasa Dua kelak, beliau ingin mengintergrasikan pas perjalanan tanpa had untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang dengan MRT.

“Kita berharap dengan pembukaan MRT2 ini akan dapat memberikan kemudahan kepada warga di Lembah Klang dan kita juga mengharapkan ia dapat menggalakan penggunaan pengangkutan awam.

“Selain itu, kita juga akan menyediakan sebanyak 170 buah bas perantara di semua stesen sepanjang laluan MRT2 sebagai kemudahan untuk pengguna,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast