Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan (tengah) bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (kanan) membuat kunjungan hormat bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berhubung isu berkaitan jenayah komersial seperti kes penipuan pelaburan dan lain-lain di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) tidak bersetuju dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang mengkalisifikasikan kes melibatkan penipuan pelaburan sebagai kes sivil.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana tindakan saman sivil kepada syarikat yang melakukan penipuan tidak akan membuahkan hasil.

“Benar kita akan menang saman sivil dan peroleh kertas penghakiman di peringkat mahkamah, malangnya kita tidak dapat menguatkuasakan perintah yang diberi oleh mahkamah kerana kebanyakan syarikat tidak mempunyai aset tetap.

“Kita tidak dapat menggulungkan mereka dan mendapat pampasan. Oleh itu, pilihan untuk membela mangsa-mangsa berada pada JSJK dengan memperuntukkan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada kunjungan hormat bersama Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob di Menara KPJ di sini hari ini.

Hishamuddin Hashim

Turut hadir Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Hishamuddin berkata, kegagalan untuk mendakwa penjenayah-penjenayah skim penipuan pelaburan ini di mahkamah dan memberikan hukuman penjara mendorong mereka terus  menipu rakyat Malaysia.

“Pihak pengarah JSJK haruslah segera membantu seramai mungkin mangsa penipuan pelaburan kerana skim ini akan menjadi-jadi sekiranya tidak dibanteras.

“Purata kalau kita lihat kebanyakan skim-skim ini merupakan jelmaan daripada skim penipuan sebelum ini, ada episod pertama, episod kedua, episod ketiga dan seterusnya dengan nama berbeza tetapi pemilik adalah orang sama,” katanya.

Tambah Hishamuddin, badan bukan kerajaan (NGO) pula perlu komited untuk berjuang bersama pihak polis dengan menjadi mata dan telinga bagi membantu siasatan, sekali gus memberi keadilan kepada mangsa dan hukuman kepada mereka yang terlibat dalam skim penipuan ini.

“Setakat ini kita menerima 200 laporan polis, manakala jumlah mangsa dianggarkan lebih kurang 10,000 orang daripada pelbagai latar belakang dengan jumlah kerugiaan yang sangat besar,” jelasnya.

Musa Hassan

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada orang awam mengatakan apabila laporan polis dibuat, tiada siasatan dijalankan.

“Hari ini kita ingin berjumpa dengan pengarah JSJK supaya kes-kes ini diambil perhatian kerana tidak mahu ada sangkaan daripada orang awam bahawa scammer ini diberi perlindungan oleh pihak tertentu.

“Oleh kerana ini merupakan satu jenayah penipuan maka pihak polis perlu siasat dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Saya rasakan dengan cara ini imej pasukan akan terjaga dan tidak akan diperlekehkan oleh mana-mana pihak terutama masyarakat Malaysia yang memerlukan tindakan polis yang tegas dalam mengendalikan masalah ini,” katanya.- MalaysiaGazette