KUANTAN – “Saya sedar hujan lebat di luar dan mula rasa tak sedap hati. Apabila buka sliding door, air tinggal dua inci nak masuk rumah. Cepat-cepat saya kejut anak-anak tolong kemas-barang.”
Itu pengalaman seorang ibu lima anak yang tidak menyangka menjadi salah seorang mangsa banjir buat pertama kali selepas berpindah dari Melaka sejak Jun tahun lalu.
Siti Azura Mohd Tahir, 39 yang merupakan seorang anggota tentera berkata, air naik di rumahnya di Perkampungan Makmur Mahkota Jaya di sini dengan cepat pagi semalam membuatkannya cemas.
Apalagi untuk menyelamatkan anak-anak dan barangan dalam rumah dan dirinya yang mengandung.
“Suami saya tentera juga, tapi dia bertugas semalam. Jadi, saya yang dalam keadaan mengandung ini urus yang mana sempat sahaja,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Seri Mahkota hari ini.
Tambah Siti Azura, banyak barangan dan perabot di dalam rumahnya musnah akibat banjir termasuk dua buah televisyen, almari, meja, sofa dan pakaian rasmi kerja mereka yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.
Beliau memberitahu, pada awal perpindahan, jiran-jiran ada memberi amaran lokasi rumah mereka merupakan kawasan mudah banjir jika hujan lebat.
Namun, dia hanya menyangka pesanan tersebut merupakan usikan yang rata-ratanya rakan sekerjanya untuk menakut-nakutkannya sehinggalah ia menjadi kenyataan semalam.
“Nasib baik dokumen penting memang ada dalam satu beg. Saya terus angkat sahaja. Sebab air memang cepat sangat naik dan laju, saya tak jangka sedar-sedar dah masuk rumah,” ceritanya.
Sementara itu, Anuar Hamzah, 56, pula sudah tiga kali berhadapan situasi banjir sepanjang menetap di Perkampungan Makmur Mahkota Jaya.
“Saya tak jangka sebenarnya banjir kali ini. Sebab longkang sudah dibaiki oleh wakil rakyat. Tapi pagi tu saya nak pegi kerja dalam pukul 7.15, buka pagar tengok air dalam longkang dah penuh. Dalam 7.30 air sudah naik ke porch,” ulasnya.
Namun nasib baik beliau sudah membuat persediaan sejak Disember tahun lalu kerana khuatir banjir besar yang diramalkan berlaku akibat Monsun Timur Laut (MTL).
“Saya memang buat para dalam bilik. Staging semua sekali kita buat. Cuma barang-barang elektrik ada yang kat bawah lagi. Jadi yang tu memang habislah, kena banjir,” tambah Anuar.
Anuar juga mengakui air naik dengan cepat dan memaksanya sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan.
Sehingga pukul 4 petang tadi, sebanyak 24 PPS telah dibuka di Kuantan dan Pekan menempatkan seramai 5,160 individu daripada 1,525 keluarga yang terjejas akibat banjir. – MalaysiGazette