Seorang ahli perniagaan, M. Parimalam Rajo Isa, 67 didakwa tiga pertuduhan menipu pelaburan wang Sri Lanka berjumlah keseluruhan RM1.09juta ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan penipuan pelaburan wang Sri Lanka berjumlah RM1.09 juta yang tidak wujud antara 2017 hingga 2018.

Tertuduh, M. Parimalam Rajo Isa, 67, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Parimalam didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 41 tahun untuk menerima wang pelaburan dari Sri Lanka tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan RM1.09 juta di sebuah rumah di Jalan Kemuning antara Februari 2017 hingga 22 Februari 2018.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz yang menetapkan ikat jamin RM20,000 bagi tiga pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Hakim Muhammad Anas Mahadzhir mengenakan ikat jamin sebanyak RM12,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang keluar dari mahkamah dengan tangan bergari kemudian membayar ikat jamin tersebut.

Beliau dituduh bawah Seskyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan dan denda.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 16 Mac ini untuk penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette