Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. Foto IQBAL BASRI, 23 JULAI 2019.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Peruntukan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu ditambah 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jelas Mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, peruntukan yang diberikan perlu sesuai dengan lanskap keselamatan semasa yang telah berubah.

“Saya telah berkali-kali menerangkan bahawa lanskap keselamatan (security landscape) di peringkat global dan serantau telah berubah. Keadaan ini pula memerlukan bajet pertahanan kita dikaji semula. Business is not as usual.

“Bajet ATM perlu dikaji semula supaya ianya lebih sesuai dengan lanskap keselamatan semasa. Dalam konteks ini, seperti sedia maklum, ATM atau pertahanan negara telah begitu lama diabaikan.

“Saya berharap kerajaan kali ini mengambil peluang untuk mengubah keadaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa kerajaan dengan tegas memastikan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) disiapkan.

“Selain itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan sewajarnya supaya Projek LMS Batch ke-2 (LMSB2) dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan sebelum terlambat,” tambahnya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengesahkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Bajet 2023 yang disemak semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023. – MalaysiaGazette