Pengarah Kastam Negeri JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan

KUANTAN –  Taktik menyimpan mercun dan bunga api larangan import di dalam sebuah premis perniagaan menjual permainan kanak-kanak di Indera Mahkota, di sini gagal apabila berjaya dihidu pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDB) Negeri Pahang bulan lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, sebanyak 1,088.95 kilogram (kg) mercun dianggarkan bernilai RM96,995.25 berjaya dirampas dalam serbuan pada 12 Januari lalu.

“Semasa serbuan, premis dalam keadaan berkunci dan pasukan serbuan telah mengambil tindakan memecahkan premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan fizikal di tempat kejadian telah dijalankan dan mendapati premis menyimpan pelbagai jenis dan jenama mercun-mercun dan bunga api yang disyaki barang larangan import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Apandi berkata, kesemua mercun dan bunga api yang dirampas itu kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan pada hari yang sama di kawasan ruangan parkir di sekitar Bandar Indera Mahkota, di sini kerana menyembunyikan mercun dan bunga api larangan import di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bercermin gelap.

Katanya, mercun dan bunga api pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang larangan import yang dirampas dengan berat sebanyak 394.20 kg dianggarkan bernilai RM15,454.00 dan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan bernilai RM10,045.10.

“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah motokar pelbagai guna dan mercun-mercun dan bunga api termasuk duti/cukai dianggarkan berjumlah RM 55,499.10,” tambah Wan Apandi.

Kesemua mercun, bunga api dan MPV yang dirampas juga dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Mercun dan bunga api diklasifikasi sebagai barang yang dilarang pengimportan di bawah Butiran 46, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000.00 yang mana lebih tinggi, sehingga maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.00 yang mana lebih tinggi, selain penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” tambah Wan Apandi. – MalaysiaGazette