Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery (dua kanan) melakukan ‘Flag Off’ Misi Bantuan Khas (MAPIM) Malaysia sempena gempa bumi ke Turki dan Syria di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 07 FEBRUARI 2023.

SEPANG – Kerajaan sudah mengenal pasti dan berusaha membawa keluar seramai 13 rakyat Malaysia yang masih terperangkap di kawasan zon gempa bumi di selatan Turkiye.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya akan mencari kaedah itu menerusi perbincangan bersama Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul sebelum membawa mereka pulang ke tanah air.

“Kita dimaklumkan ada 13 rakyat Malaysia (11 lelaki dan dua wanita) yang terperangkap dalam zon gempa bumi tapi keadaan mereka alhamdulilah, sihat dan selamat.

“Cuma seperti yang saya katakan tadi, perhubungan agak sukar kerana perkhidmatan telekomunikasi terputus namun misi membawa mereka keluar ini masih diuruskan pihak kedutaan kita.

“Saya harap keluarga mereka di sini tidak bimbang. Kita (Kementerian Luar Negeri) akan memberi perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye dan Syria oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin bercakap kepada media selepas ‘Flag Off’ Misi Bantuan Khas (MAPIM) Malaysia sempena gempa bumi ke Turki dan Syria di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 07 FEBRUARI 2023.

Tambah Mohamad, MAPIM antara badan bukan kerajaan (NGO) pertama yang turun padang untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Turkiye melibatkan seramai 11 anggota delegasi termasuk empat petugas media.

Wakil MalaysiaGazette antara media yang mengikuti misi yang sama.

Menurut Mohamad, Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menerima banyak permohonan daripada NGO untuk terlibat sama dalam misi bantuan gempa di Turkiye dan Syria.

“Kita diberitahu pihak kedutaan Turkiye terdapat beberapa senarai barangan keperluan yang diperlukan mangsa di sana dan kita akan maklumkan pada wakil NGO sebagai panduan untuk mereka salurkan.

“Ia termasuk juga bagaimana mengkoordinasikan proses penghantaran bantuan ke sana,” ujarnya. – MalaysiaGazette