Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri ke 10 kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 NOVEMBER 2022

SEJARAH politik Islam telah menyaksikan kebangkitan pemerintahan berasaskan Islam yang disanjung tinggi sehingga berlakunya peristiwa kejatuhan yang ditangisi oleh seluruh umat Islam. Bangkit dan jatuh pemerintahan Islam yang dinukilkan dalam lembaran kitab sejarah telah memberi seribu satu pengajaran dan peringatan kepada kita tentang kehebatan para pemimpin terdahulu dalam melaksanakan tanggungjawab.

Saya agak tertarik untuk berkongsi satu sirah berkenaan peralihan kuasa dan sikap toleransi yang dizahirkan oleh anak Khulafah Ar Rasyidin keempat iaitu Khalifah Ali bin Abu Talib serta cucu pertama Baginda Rasulullah saw iaitu Saidina Hasan r.a yang menyerahkan kuasa kekhalifahan kepada Muawiyah bin Abu Sufyan secara perdamaian. Sikap toleransi dan cinta akan perdamaian ini harus diterapkan dalam jiwa ahli-ahli politik yang mementingkan kuasa terutama sekali semasa pasca PRU15 yang lalu.

Saidina Hasan r.a telah diangkat sebagai khalifah kelima dan dibaiah di Kufah setelah kewafatan dan kejatuhan bapanya pada 21 Ramadan 661M. Semasa berlakunya pertempuran diantara Saidina Hasan r.a dan Muawiyah,beliau telah diserang di Al Madain oleh tenteranya sendiri yang belot selepas menerima sogokan wang daripada puak Muawiyah.

Bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak pertumpahan darah dan perang yang berpanjangan,Saidina Hasan r.a telah mengutuskan surat perdamaian kepada Muawiyah serta menyatakan hasrat beliau untuk menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah.

Tiga perkara yang ditawarkan oleh Muawiyah kepada Saidina Hasan r.a iaitu menyerahkan semula kedudukan khalifah kepada Saidina Hasan r.a,membayar 1 juta dirham kepada Saidina Hasan r.a dan memberi dua wilayah parsi kepada Saidina Hasan r.a serta memberi jaminan keselamatan daripada sebarang ancaman bahaya.

Saidina Hasan r.a bersetuju dengan tambahan syarat bahawa Muawiyah berjanji akan memberi jaminan keselamatan kepada semua orang, maka dia akan berbaiah. Perjanjian damai Am Al Jamaah ini telah ditandatangani pada Rabiul Awal 41H dengan syarat bahawa pemerintahan wajib berpegang kepada kitabullah,Sunnah Rasul dan dasar politik khulafah serta pelantikan khalifah seterusnya perlu melalui musyawarah.

Sikap toleransi dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang dianjurkan oleh Saidina Hasan r.a dalam mempertahankan keharmonian dan kemakmuran sesama umat islam harus diteladani oleh setiap sosok pemimpin islam. Namun, sekiranya seseorang pemimpin itu hanya mementingkan kuasa dan kedudukan,maka kebajikan rakyat akan terganggu-gugat dan menimbulkan keretakan dalam ekonomi sesebuah negara.

Kita boleh saksikan perkara ini berlaku di negara kita sendiri apabila perebutan kuasa dan kemelut politik diantara parti-parti politik selepas PRU15 yang lalu. Keputusan yang menyaksikan bahawa tidak ada mana-mana gabungan parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk sebuah kerajaan. Maka berlakulah tawar menawar dan sebagainya untuk mencapai majoriti mudah sebanyak 112 kerusi Parlimen.

Pada 20 November 2022, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendakwa bahawa beliau telah mendapat majoriti dan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mendakwa bahawa beliau telah menghantar SD seramai 112 ahli kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA). Kekosongan kuasa ini telah berpanjangan selama beberapa hari bagi memastikan kerajaan yang terbentuk stabil dan mempunyai majoriti yang secukupnya seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Atas kebijaksanaan YDPA, baginda telah memanggil ketua-ketua gabungan parti politik pada 22 November dan menitahkan supaya tertubuhnya Kerajaan Perpaduan. Namun, cadangan ini telah ditolak oleh PN kerana tidak mahu bekerjasama dengan PH.

Persidangan Majlis Raja-Raja (MRR) telah diadakan bagi menamatkan kemelut politik yang berlaku dan UMNO yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju untuk bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama beberapa parti seperti GRS,GPS,Warisan dan beberapa parti kecil yang lain. Maka kemelut politik pasca PRU15 berakhir dengan menyaksikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Sikap toleransi yang ditunjukkan oleh parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini sewajarnya dipuji. Walaupun mereka telah berkelahi dalam tempoh masa yang lama tetapi mereka berjaya membuang ego dan kemarahan yang lampau demi menghormati titah YPDA untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil dalam membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Muhammad Azha Salahudin
Aktivis NGO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast