Pasukan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) diaktifkan di Pulau Besar, di sini bagi memperluaskan sektor pencarian sehingga 1,040 kilometer persegi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) komando tentera darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan di sini petang semalam.

JASIN – Pasukan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) diaktifkan di Pulau Besar bagi memperluaskan sektor pencarian sehingga 1,040 kilometer persegi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) komando tentera darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, operasi SAR hari kedua bermula seawal jam 8 pagi tadi melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi menggunakan sembilan aset dari agensi-agensi sahabat termasuk pesawat Dolphin daripada APMM, pesawat King Air daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU), RH22 dari Pasukan Polis Marin (PPM), bot Kevlar JBPM dan lima bot taktikal daripada ATM.

“Keluasan sektor pencarian bagi hari kedua ini meliputi 1,040 kilometer persegi.

“Komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan terus kepada pusat operasi kami di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malam tadi, MalaysiaGazette melaporkan Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Syakirin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian menimpa anggota komando itu pada pukul 5.31 petang semalam.

Pada sidang media malam tadi, Iskandar berkata radius pencarian akan diperluaskan termasuk menggunakan aset udara pagi ini selepas operasi SAR dihentikan 7.30 malam tadi.

Mangsa dikatakan hilang sewaktu menjalani latihan latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan, Melaka yang berkedalaman 40 meter.

Difahamkan, mangsa bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor dan ketika kejadian sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau Kursus Juruselam di kawasan perairan Pulau Undan.

Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang Melaka.

Operasi SAR turut melibatkan kekuatan 34 anggota dan lima pegawai dari Kem PULPAK. – MalaysiaGazette

Anggota komando dikhuatiri lemas di Pulau Undan