Keadaan Jalan Semambu, dekat Kuantan.

KUANTAN – Pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan pada kenderaan atau tayar pecah berpunca daripada jalan berlubang di Jalan Semambu, di sini, disaran membuat laporan polis dan mengemukakan tuntutan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pihaknya sedang bertindak menyelesaikan isu jalan raya persekutuan yang rosak teruk itu.

“Perjumpaan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tuan Farhan pada 4 Januari 2023 telah dibuat.

Surat kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon agar peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dapat disegerakan juga telah dihantar pada 30 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, beberapa isu jalan kritikal masih belum peroleh peruntukan oleh Pejabat Kerja Raya Daerah Kuantan menyebabkan risiko kepada nyawa dan harta benda.

Chan Chun Kuang

Antara jalan raya yang terlibat adalah Jalan Sungai Lembing (FT231), Jalan Kuantan-Chukai (FT03) dan jalan masuk ke kawasan perindustrian Semambu (FT3486).

Katanya, cadangan kos penyelenggaraan bagi jalan-jalan ini berjumlah RM6.53 juta.

Sebelum ini, ramai yang pengguna jalan raya yang menggunakan laluan masuk ke kawasan perindustrian Semambu (FT3486) atau lebih dikenali sebagai ‘flyover’ Semambu menularkan klip video pendek dan gambar keadaan jalan itu yang disamakan seperti permukaan planet Marikh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast