Mawar Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Usahawan, Mawar Karim yang juga bekas isteri kepada pelakon, Fizo Omar kembali mencetuskan pertanyaan netizen apabila menegaskan dia bukan seorang yang berpura-pura.

Menerusi hantaran di Insta Story miliknya, ibu kepada seorang cahaya mata itu yakin suatu hari nanti pihak berkaitan akan secara sendiri mendedahkan sikap sebenar mereka.

Biar pun tidak menujukan luahan tersebut kepada individu tertentu, perkara itu menjadi tanda tanya seolah-olah kata-kata berkenaan berkaitan isu yang masih belum diselesaikan dengan baik.

“Saya mungkin bukan yang sempurna tapi sekurang-kurangnya saya tidak berpura-pura.

“Bukan tugas saya untuk dedahkan orang yang berpura-pura. Akan tiba masa nanti mereka akan mendedahkan siapa diri mereka yang sebenar,” tulisnya.

Sebelum ini Mawar menepis dakwaan seorang netizen yang menggunakan akaun palsu apabila mengatakan dia tidak bahagia selepas bercerai.

Tidak berdiam diri, wanita berusia 34 tahun itu bersyukur menjalani kehidupan baharu selain memberi bayangan tidak perlu lagi menanggung orang lain atau berhadapan situasi duit ‘lesap’.

Meskipun tidak memperincikan pihak atau individu dimaksudkan berhubung perkongsian dibuat, dia mengakui kini berasa lebih tenang berbanding dahulu.

Malah Mawar turut mengambil kesempatan menitipkan nasihat kepada orang ramai supaya menyayangi diri sendiri berbanding orang lain.

Tidak lama kemudian, Fizo pula memuat naik hantaran berkenaan rasa syukur atas kebahagiaan serta kesihatan yang dikurniakan Allah SWT.

Pada akhir perkongsian, aktor yang mendirikan rumah tangga dengan bekas pramugari, Fazeera Nazri dua tahun selepas bercerai dengan Mawar memberitahu rezeki yang diperoleh datang dalam pelbagai bentuk termasuk ‘fitnah’.

Terdahulu, perkahwinan Mawar dan Fizo yang dikurniakan seorang puteri, Wan Maryam, 6, hanya bertahan selama enam tahun sebelum mereka sepakat berpisah pada Julai 2019.

Fizo kemudian berkahwin dengan Fazeera yang kini sedang hamil anak kedua pada 21 Oktober 2021 dan dikurniakan cahaya mata sulung, Wan Khaleeda, lapan bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.