Pengurus Inspired Kitchen merangkap graduan Sijil Kulinari Khas Kolej Komuniti Selayang, Mohd Hanif Naufal Mohd Mazhi menyediakan minuman selepas temubual bersama Malaysia Gazette berkenaan Program Pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Kolej Komuniti Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 NOVEMBER 2020.

GAGASAN Malaysia Madani yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini seolah-olah memberi nafas baharu perjalanan masa hadapan negara. Dalam suasana kemelut politik dan ekonomi tidak menentu di peringkat domestik mahupun antarabangsa, Malaysia sememangnya perlu anjakan paradigma baharu yang lebih ampuh dan mapan untuk kekal berdaya saing. Untuk menjayakan sesuatu gagasan, usaha berterusan melibatkan semua pihak merentas pelbagai sektor kehidupan perlu digerakkan.

Sebagai pegawai tadbir di sebuah universiti teknikal, penulis tertarik untuk mengupas bagaimana Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan gagasan ini, khususnya dalam mendepani tiga dari enam tonggak Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta.

TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

Kebanyakan negara maju telahpun menjadikan TVET sebagai teras pendidikan mereka lebih dua abad yang lalu dan kesannya telah mereka nikmati ketika ini. Ekosistem TVET yang terancang dan kukuh, akan melonjakkan keberhasilan modal insan berkemahiran tinggi dalam masyarakat.

Kemampanan sosial dan ekonomi sangat memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi kerana ia mampu menyediakan taraf hidup yang lebih baik kepada semua rakyat. Secara tidak langsung impak ini mendatangkan kesejahteraan rakyat melalui peluang pekerjaan yang luas, agihan ekonomi yang lebih adil, saksama serta inklusif kepada semua kumpulan pendapatan, etnik serta wilayah.

Salah satu elemen penting dalam TVET adalah kreativiti dan inovasi. Dalam berhadapan dengan cabaran volatility, uncertainty, complexity and ambiguity (VUCA), keupayaan daya cipta yang kreatif dan inovatif mampu menyediakan penyelesaian kepada pelbagai cabaran kompleks masa hadapan. TVET mampu melahirkan generasi yang lebih berdikari dan berdaya tahan tinggi. Generasi ini bukan sahaja bebas dari kebergantungan bantuan dan subsidi kerajaan, malah mereka pula yang lebih ke depan dalam menyumbang dan menjayakan pelbagai inisiatif pemerintah.

Ketiga-tiga tonggak yang diperteguhkan dengan inisiatif TVET ini pastinya akan memangkin pembentukan Malaysia Madani yang menjurus kepada penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa, menyentuh pencorakan masa depan dan memaksimumkan potensi rakyat serta negara.Membangunkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran tinggi perlu perancangan dan iltizam bersepadu semua pihak.

Justeru, kerajaan perlu sentiasa menyulam elemen TVET ini dalam setiap perancangan pembangunan negara supaya rantaian elemen dalam sistem pendidikan latihan kemahiran
ini dapat dihubungjalinkan secara konstruktif dan berimpak. Pada ketika ini kerajaan berada di landasan yang betul dalam memperkasakan pelaksanaan TVET.

Selain penubuhan Majlis TVET Negara untuk menyelaraskan pelaksanaan TVET di peringkat nasional, sinergi beberapa kementerian seperti Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia dilihat sangat erat dalam memastikan agenda TVET sentiasa menjadi keutamaan. Jika Bajet tahun 2022 memperuntukkan RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET, kerajaan dijangka meningkatkan jumlah ini dalam Bajet 2023 sebagai bukti keseriusan mengembangkan peranan TVET dalam pembangunan negara.

Kita sedar bahawa kejayaan gagasan Malaysia Madani itu tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Namun melalui pemerkasaan TVET impian Perdana Menteri untuk mewujudkan negara yang mampan, rakyat yang sejahtera dan berdaya cipta pasti akan dapat dijayakan dengan lebih pantas.

 

Shafry Salim
Timbalan Pengarah, Pusat Kepimpinan dan Kompetensi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast