KUALA SELANGOR – Generasi muda perlu menolak fahaman jumud dan kolot yang merugikan bangsa.
Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, generasi itu perlu bangkit menjadi masyarakat Madani yang kuat dan bersatu-padu.
“Sudah sampai ketikanya bangkitnya generasi muda yang menolak fahaman jumud dan kolot yang merugikan bangsa.
“Anak-anak Melayu yang pintar bersama anak-anak Cina, India, Iban, Kadazan bangkit sebagai kekuatan bangsa yang pertahankan hak kita, pertahankan nilai, akhlak, pertahankan kebenaran dan keadilan, bangkit sebagai kekuatan baru masyarakat Madani. Ini cabaran saya kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya.
Ujar Anwar, corak pemikiran yang cenderung melakukan perubahan akan dapat memastikan rakyat mengangkat martabat pendidikan sekali gus membawa perpaduan kepada negara.
“Hanya kerangka pemikiran yang mendorong perubahan dapat memastikan rakyat bersatu dan pendidikan membawa kesepaduan dan perpaduan berteraskan keyakinan bangsa dan agama tapi nesti membawa kekuatan negara,” tambah beliau,
Dalam majlis yang sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Institut Pemikir dan Kepimpinan Siddiq Fadzil dan Kursi Siddiq Fadzil yang ditubuhkan di Universiti Selangor (Unisel).- MalaysiaGazette