Ciapan lelaki yang didakwa mencari anak kucing dan arnab untuk dijadikan makanan ular peliharaannya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan menerima aduan berhubung tindakan seorang lelaki di Twitter yang mencari anak kucing dan arnab percuma untuk dijadikan makanan ular peliharaannya.

Ketua Pengarah JPV, Dr Akma Ngah Hamid dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan itu dan akan dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan.

“Sekiranya aduan melibatkan kebajikan haiwan, mohon membuat aduan terus melalui sistem MyAnimalWelfare,” katanya.

Jelas beliau, Akta 722 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan penganiyaan terhadap haiwan.

“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Terdahulu tular di Twitter apabila seorang lelaki tampil meninggalkan komen pada ciapan seorang wanita yang ingin mencari komuniti pencinta ular.

Bagaimanapun lelaki itu menerusi akaun @syazuanism berkongsi tips pemakanan ular kepada wanita terbabit agar mengambil anak kucing atau arnab secara percuma untuk diberi makan kepada haiwan peliharaannya.

“Saya dan kawan sentiasa mencari anak kucing percuma (atau arnab) untuk diberikan kepada ular kami,” tulisnya.

Semakan lanjut pada akaun Twitter lelaki berkenaan mendapati dia telah mencari kucing dan arnab  sekitar Jun tahun lalu.

“Hi semua. Ada tau tak siapa nak lepaskan mana-mana anak kucing atau arnab? Saya nak adopt. Helga (ular) saya sedang sunyi. Kesian dia. Area Ipoh. Mohon retweet,” ujarnya dalam ciapan.

Menerusi hantaran lain, dia turut memaklumkan telah menemui anak kucing untuk haiwan kesayangannya.

“Hi semua, cuma nak maklumkan saya telah menemui anak kucing untuk Helga. Helga saya gembira. Terima kasih banyak-banyak untuk yang membantu,” tulisnya pada ciapan sambil berkongsi gambar seekor ular berwarna putih kekuningan.

Kemudian pada 7 Februari lalu lelaki terbabit  turut memuat naik ciapan dengan mempertikaikan kenapa pencinta ular tidak peduli nasib haiwan mereka dengan memberi makan makanan yang sama.

“Ada sekali dapat adopt anak kucing british shorthair percuma, paling berselera ular saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast