KUALA LUMPUR – Kedudukan penawaran buruh pada suku keempat 2022 lebih meyakinkan mendorong tenaga buruh meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 16.54 juta orang.
Kenaikan itu dipacu oleh aktiviti ekonomi dan sosial.
Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.5 peratus (ST3 2022: 69.4%), menurut Jabatan Perangkaan.
Pada masa yang sama, jumlah penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.7 peratus pada suku tersebut mencatatkan 15.94 juta orang (ST32022:15.83 juta orang).
Sebaliknya, bilangan penganggur menurun sebanyak 1.9 peratus kepada 600.5 ribu orang (ST3 2022: 611,800 orang).
Menurutnya, kadar pengangguran turun sedikit kepada 3.6 peratus pada suku tersebut berbanding 3.7 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun sebanyak 6.5 peratus kepada 268, 500 orang (ST3 2022: 287,200 orang).
Oleh itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa atau mereka yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu dan sanggup untuk menerima tambahan jam bekerja, menurun sebanyak 10.4 peratus kepada 167, 400 orang, mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa yang lebih rendah iaitu pada 1.1peratus (ST3 2022: 186.8 ribu orang; 1.2%).
Sementara itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, yang merangkumi mereka yang berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 1.89 juta orang dengan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang lebih tinggi iaitu pada 37.4 peratus (ST3 2022: 1.84 juta orang; 36.8%). – MalaysiaGazette