THE HAGUE, Netherlands – Terdapat petunjuk kukuh bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin memutuskan untuk membekalkan peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat MH17 pada 2014, kata penyiasat antarabangsa.
Pesawat penumpang itu terkena peluru berpandu buatan Rusia di ruang udara Ukraine hingga mengorbankan 298 orang penumpang dan anak kapal.
Mereka yang terkorban terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia.
Pendakwa raya berkata, terdapat bukti Putin memutuskan untuk menyediakan senjata berat kepada pemisah yang disokong oleh Moscow.
Namun tiada cadangan Putin mengarahkan pesawat itu ditembak jatuh.
Kesimpulan Pasukan Penyiasatan Bersama yang terdiri daripada penyiasat dari lima negara yang mengikuti keputusan mahkamah Belanda tahun lalu yang mendapati dua warga Rusia dan seorang Ukraine bersalah membunuh tanpa hadir ke mahkamah.
Moscow menafikan semua penglibatannya hingga menyebabkan pesawat itu jatuh dan menolak keputusan itu sebagai skandal dan bermotifkan politik.
Pasukan antarabangsa, yang didakwa menyiasat mereka yang bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu itu berkata, mereka telah kehabisan semua petunjuk dan tidak boleh meneruskan prosiding jenayah lagi.
Boeing 777 itu sedang dalam penerbangan dari ibu negara Belanda ke Kuala Lumpur apabila ia terkena peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia pada Julai 2014.
Tragedi itu berlaku semasa konflik antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine di wilayah Donbas di Ukraine. – Agensi