KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan dicabar untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu inisiatif di agensi masing-masing bagi menyokong agenda Malaysia Madani.
Mereka perlu mencontohi kejayaan pelaksanaan ‘Menu Rahmah’ yang benar-benar menyentuh nurani rakyat yang kini sedang popular di media sosial.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, tidak ada gunanya jika hanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang bersungguh-sungguh memperkenalkan konsep tersebut tetapi tidak disambut oleh penjawat awam di peringkat pelaksanaan.
“Bila bercakap mengenai Malaysia Madani apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri saya melihat perkara yang boleh dijadikan contoh adalah Menu Rahmah yang cukup popular.
“Ia mencakupi maksud Madani bersikap adil. Bila bercakap kos sara hidup ada Menu Rahmah.
“Saya mencabar KSU, KP jadikan wujudkan inisiatif di jabatan dan agensi masing-masing bagi mendokong agenda Malaysia Madani,” kata Mohd. Zuki.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara yang berlangsung hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani, Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Sementara itu menurut Mohd. Zuki, bagi menjayakan agenda Malaysia Madani beberapa gerak kerja telah dan akan dilaksanakan.
Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) akan bertindak sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan program dan inisiatif oleh kementerian dan agensi berjalan lancar.
Agensi Pusat Kerajaan katanya, perlu berperanan dengan lebih proaktif sebagai strategic enablers dengan memperkasakan kemampuan, kebolehan dan sumber bagi mendokong keberkesanan operasi strategik kementerian dan agensi dengan lebih efektif.
Selain itu setiap teras strategik dan nilai fundamental Malaysia Madani katanya, perlu diperhalusi pelaksanaannya.
“Gagasan Malaysia Madani membawa pengertian lebih jauh daripada takrifan kebiasaan.
“Konsep Malaysia Madani ini amat penting didalami dan difahami oleh semua peringkat penjawat awam.
“Ia tidak boleh dilihat sebagai satu fahaman politik dan slogan semata-mata tetapi perlu diterjemahkan kepada usaha murni yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan,” tegas Mohd. Zuki. -MalaysiaGazette