TELUK INTAN – Tiga jari tangan kanan seorang kanak-kanak lelaki hampir putus selepas tersepit pada mesin memproses santan kelapa di rumahnya di Taman Seri Bahagia di sini hari ini.
Kejadian pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika budak berusia lima tahun itu ada bersama bapanya yang sedang melakukan kerja-kerja memproses santan kepala.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 9.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota yang tiba di lokasi bertindak memotong mesin proses santan itu sebelum mengeluarkan tangan mangsa. Pihak bomba mengambil masa kira-kira 35 minit untuk mengeluarkan tangan kanan kanak-kanak itu,”katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga jari kanak-kanak itu hampir putus manakala ibu jari mengalami kecederaan parah.
“Pihak bomba telah memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette