KUANTAN – Dua warga emas terpedaya penipuan tipu atas talian mengakibatkan kerugian sebanyak RM227,520 dalam kejadian di Kuantan dan Temerloh semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes pertama membabitkan seorang pesara swasta lelaki yang menerima pesanan ringkas dari suspek berkait penggunaan kad kredit pembelian barangan yang tidak dilakukan.
Menurutnya, akibat takut, mangsa terpedaya dan mengalami kerugian sebanyak RM140,5200 apabila wang simpanannya lesap sekelip mata.
“Pengadu berusia 65 tahun berasa takut dan telah menyerahkan semua maklumat perbankan seperti nombor akaun, nombor kad ATM, nombor TAC dan nombor kad kredit miliknya yang diminta oleh suspek.
“Pengadu mula rasa ditipu setelah mendapati akaun miliknya berkurang RM140,520,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kejadian berasingan, pada tarikh yang sama, seorang wanita berumur 70 tahun mengalami kerugian sebanyak RM87,000 setelah ditipu sindiket skim pelaburan tidak wujud.
“Pengadu telah ditawarkan satu pelaburan melalui WhatsApp. Urusan pelaburan antara pengadu dan suspek hanya melalui aplikasi WhatsAapp.
“Warga emas itu telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM87,000. Pengadu mula sedar ditipu setelah gagal mengeluarkan hasil keuntungan daripada akaun yang diberi oleh suspek,” katanya.
Justeru Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette