KUALA LUMPUR – Datuk Hasmuni Hassan mengumumkan hasrat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang akan berlangsung bulan depan.
Beliau yang kini Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO itu turut mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah dan ADUN Merlimau Dr. Akmal Salleh sebagai pasukannya.
Mohd. Hairi akan bertanding jawatan Naib Ketua manakala Akmal diumumkan Setiausaha Pegerakan Pemuda UMNO.
Hasmuni memilih ahli pasukan terdiri daripada pemimpin muda yang mempunyai semangat untuk bangkit semula seperti yang ditonjolkan sepanjang penggal lepas.
Beliau menegaskan kumpulannya tidak pro kepada mana-mana pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya melihat semangat bangkit kembali yang mereka tonjolkan semasa penggal ini. Mereka ini bersungguh-sunggu memastikan UMNO kembali ke persada yang sebenar.
“Team ini mempunyai semangat bangkit kembali dan akan meneruskan dengan semangat akan terus bangkit. Tidak pro mana-mana,” katanya dalam sidang media hari ini.
Hasmuni berkata, fokus utama pasukannya untuk menangi Pilihan Raya umum ke-16 dan memastikan sokongan anak-anak muda kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Justeru ahli pasukannya terdiri daripada calon yang berumu 40 tahun ke bawah.
Sementara itu, Akmal yang mengumumkan ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda sebelum ini menafikan beliau dipujuk untuk melepaskan hasrat tersebut.
“Dia tak ada pujukan. Biasalah dengan kawan-kawan kita ada mesyuarat bersama jadi sudah semestinya keputusan ini dicapai hasil mesyuarat bersama dengan rakan-rakan.
“Masing-masing ada kekuatan tetapi UMNO ini sesungguhnya memerlukan kepimpinan baru yang kita merasakan mampu menarik semua pihak.
“Kita rasa pemimpin yang boleh menyatupadukan semula pemuda adalah Hasmuni,” katanya.
Pemilihan semua peringkat UMNO yang ditangguhkan sebelum ini dijangka diadakan sebelum 19 Mei 2023.- MalaysiaGazette