KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyokong tindakan yang diambil Konfederasi Hoki Malaysia terhadap pemain hoki kebangsaan, Hanis Nadiah Onn.
Ahmad Faizal atau lebih dikenali Peja berkata, tindakan penggantungan terhadap pemain itu adalah tepat kerana komen berbaur perkauman tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Rasa hormat antara satu sama lain adalah asas paling penting kepada masyarakat kita dan sebagai seorang pemain hoki kebangsaan Hanis harus bertanggung jawab atas komen tersebut,” katanya.
Tambah Timbalan Presiden Bersatu itu, komen yang dilontarkan oleh Hanis Nadia tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia.
Komen bersifat perpecahan termasuk penghinaan bangsa dan agama semakin merebak di media sosial dan secara halus di ruangan editorial berita.
“Rentetan dari pilihan raya umum baru-baru ini artikel serta rencana semakin banyak diterbitkan malahan mendapat ruang di media perdana dengan terma seperti Taliban dan pelampau agama seolah-olah menjadi norma yang diungkapkan untuk menggambarkan rakyat Malaysia.
“Asas kepada masyarakat Malaysia itu tersemat melalui rasa hormat antara satu sama lain tidak mengira perbezaan politik, bangsa dan agama.
“Setiap daripada kita mempunyai peranan yang perlu dipikul untuk memastikan rasa hormat itu sentiasa subur. Jadikan pengalaman Hanis ini sebagai ikhtibar untuk semua,” kata Ahmad Faizal.
Sementara itu beliau berharap Konfederasi Hoki Malaysia dan Majlis Sukan Negara memberi sokongan yang bersesuaian terhadap Hanis Nadiah agar tidak mengulangi perbuatan sama.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini berkata, Hanis Nadiah mungkin boleh memperoleh peluang kedua untuk kembali menyarung jersi kebangsaan selepas dia sah digantung dan tidak dibenarkan beraksi di Sukan Sea Kemboja Mei depan.
Menurut beliau, Hanis Nadiah boleh merayu kepada Jawatankuasa Siasatan yang dibarisi oleh panel daripada Majlis Sukan Negara dan Konfederasi Hoki Malaysia.
Hanis Nadiah dijatuhi hukuman gara-gara mengeluarkan komen yang berbaur perkauman di laman media sosialnya ketika penganjuran konsert artis antarabangsa India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Hanis Nadiah, 26 tahun adalah tonggak penting untuk skuad hoki wanita kebangsaan sejak mula beraksi pada 2014 dengan berjaya menjaringkan 36 gol daripada 84 penampilan peringkat antarabangsa.
Dia berada dalam skuad yang membawa pulang pingat emas Sukan Sea 2015 dan 2017, membantu pasukan muncul juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Pertama) 2015, naib juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Kedua) 2017) dan juara FIH Siri Terbuka 2018.-MalaysiaGazette