MELAKA – Padah memiliki bom tangan, parang dan rotan tanpa kebenaran sah empat tahun lalu, seorang pekerja ladang ternakan lembu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.
Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu terhadap tertuduh, PS Tamil Kumaran, 36, selepas tertuduh menukar kepada pengakuan bersalah pada perbicaraan kes itu.
Mengikut pertuduhan, Tamil Kumaran didakwa bersama-sama, SR Vimal Raj, 24, dan P. Mankalam, 61, memiliki satu bom tangan dalam kereta Toyota Vios tanpa kebenaran sah di persimpangan lampu isyarat Lebuh Ayer Keroh-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Serkam, Jasin pukul 12.15 tengah hari 24 Oktober 2019.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dua parang dan dua rotan tanpa kebenaran sah pada tarikh, masa dan tempat sama yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan sehingga 10 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivasangari manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan
Terdahulu, peguam dalam rayuannya memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh adalah pesalah pertama, pengakuan telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, selain telah insaf selama berada dipenjara sejak ditahan empat tahun lalu.
Anak guamnya juga, katanya, seorang orang kurang upaya (OKU) kerana mata kanannya yang rosak akibat kemalangan pada 2012 dan mempunyai empat tanggungan keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Darmafikri menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan memiliki bom tangan manakala lima tahun serta satu sebatan bagi pertuduhan memiliki parang dan rotan.
Hukuman penjara bagaimanapun diarahkan berjalan serentak menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman lima tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Oktober 2019. – MalaysiaGazette