PETALING JAYA – Baru keluar penjara atas kesalahan samun, seorang lelaki tidak serik mengulangi kegiatan jenayah.
Dalam kejadian terbaharu, suspek berusia 30 tahun itu menggunakan pistol angin yang dibeli dalam talianĀ menyamun sebuah kedai serbaneka serta menembak pekerja kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pada 4 Januari lalu, polis telah menerima laporan mengenai kejadian samun berkenaan di Damansara.
“Dalam kejadian pukul 5.27 pagi itu, pengadu seorang perempuan bertugas bersama seorang pekerja warga asing di kedai serbaneka tiba-tiba didatangi suspek yang berpura-pura menyamar sebagai pelanggan.
“Suspek mengambil kad tambah nilai Touch nGo bernilai RM100 dan kad tambah nilai RM50 sebelum menuju ke kaunter bayaran dan tiba-tiba bertindak mengeluarkan objek menyerupai pistol angin serta mengacukan ke arah juruwang agar mengeluarkan wang dari kaunter bayaran.
“Suspek juga melepaskan tembakan ke arah salah seorang pekerja yang cuba melawan sebelum tercedera di bibir,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Mohamad Fakhruddin, suspek telah membawa lari wang tunai RM250 disyaki hasil perniagaan kedai serbaneka itu dengan menaiki motosikal.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan pada 2 Februari lalu, sepasukan polis dari Petaling Jaya telah membuat serbuan mengejut ke atas sebuah rumah di ibu negara.
“Hasil serbuan polis berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30 tahun yang disyaki aktif terlibat dalam jenayah samun itu sebulan lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek polis berjaya merampas beberapa barangan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR, lima keping MyKad, lesen memandu dan kad pengeluaran wang (ATM) milik individu lain selain jaket dan seluar jean yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah samun.
“Malah polis turut berjaya menjumpai sebuah kotak kosong pistol angin serta sepucuk pistol angin tiruan berwarna perang yang disyaki digunakan suspek menembak salah seorang mangsa semasa samun,” ujarnya.
Hasil siasatan lanjut mendapati suspek juga terlibat dengan tiga lagi kes jenayah samun di sekitar Petaling Jaya sebelum ini dan modus operandi yang digunakan suspek adalah bergerak secara bersendirian sebagai pelanggan dan menyamun kedai serbaneka.
Suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah dan mengaku membeli pistol angin itu dalam talian untuk jenayah samun.
“Tangkapan suspek berjaya membawa kepada penyelesaian empat kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah ini dan suspek kini sedang direman tujuh hari sehingga Khamis dan akan disambung reman untuk melengkapkan siasatan polis,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan samun dan juga Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette