AMALAN berkhitan dalam kalangan masyarakat Melayu kepada anak-anak perempuan mereka ini dianggap tradisi turun temurun. Dahulunya amalan ini dilakukan oleh bidan-bidan kampung sebaik sahaja selepas lahir. Walaupun ada sebilangan kecil ibu bapa yang memilih untuk tidak mengkhitankan anak perempuan mereka, perkara ini tidak diperbesarkan. Namun khitan telah dikaitkan dengan female genital mutilation (FGM) dan mula ada suara-suara yang mendesak supaya amalan ini diharamkan. Pada tahun 2009 Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan hukum kepada amalan khitan budak perempuan sebagai wajib bersyarat, bermakna jika ada permasalahan atau ianya membawa kepada keburukan, boleh memilih untuk tidak berkhitan.
Benarkah khitan budak perempuan hanya amalan tradisi? Apakah isu–isu yang berkaitan dengan khitan budak perempuan ini? Dalam hadis daripada Humaid bin Bilal, Rasululullah SAW telah bersabda bermaksud: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi. Satu lagi hadis daripada Ummu Atiyyah Al –Ansyariyyah bermaksud: Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.
Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa khitan itu berlaku pada zaman Rasulullah, bermakna ianya adalah syariat bukan semata-mata tradisi masyarakat Arab atau Melayu. Dalam Mazhab Al- Syafie, hukum berkhitan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan disokong oleh Imam Ahmad. Manakala Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulamak menyatakan ianya adalah sunat.
Manakala menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan pada lelaki dan perempuan. Prosedur berkhitan hendaklah dilakukan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khitan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya”.
Makanya tidak menjadi isu yang besar sekiranya ada ibu bapa yang memilih tidak mengkhitankan anak-anak perempuan mereka. Namun usaha untuk mengharamkan perkara yang disyariatkan dalam islam ini agak keterlaluan.
Apa sebenarnya isu yang menyebabkan permasalah hukum ini timbul?
Tiada garis panduan yang jelas tentang bagaimana khitan ini patut dilakukan. Di dalam hadis hanya dinyatakan agar dinipiskan /dikemaskan dan jangan melampau-lampau. Dalam dunia perubatan pula amalan ini tidak ada dalam silibus pembelajaran bagaimana cara-cara untuk melakukannya. Walaupun amalan ini telah dilakukan oleh kebanyakkan doktor-doktor perubatan sama ada pegawai perubatan ataupun doktor pakar sakit puan yang mana ianya lebih terjamin dari segi kebersihan dan mengurangkan risiko jangkitan kuman, namun ianya adalah pembelajaran secara hands on dari senior kepada junior tanpa rujukan buku teks.
Apa yang perlu difahami oleh ibu bapa berkhitan anak perempuan berbeza dengan anak lelaki. Ini kerana prosesnya lebih mudah dan cepat, hanya membabitkan pemotongan sebahagian kecil selaput daging pada bahagian atas saluran kencing yang menutupi klitoris. Ia sepatutnya dilakukan sedikit saja dan tidak mencacatkan mahupun mencederakan bayi. Proses penyembuhan mengambil masa dua hingga lima hari saja. Tetapi jika menggunakan teknik menggunakan pisau dan gunting pemulihan adalah lebih cepat malah tiada kesukaran penjagaan luka dengan menggunakan kaedah ini.
Selain daripada itu, perbuatan sesetengah negara yang melakukan khitan budak perempuan secara melampaui batas telah menjadi isu besar yang dianggap oleh golongan feminisme sebagai melanggar hak asasi manusia. Di negara Afrika dan Arab mereka bukan sahaja memotong sahaja clitoris tetapi juga memotong bahagian luar kemaluan (labia majora or minora) dan menyempitkan bukaan vagina (infibulation). Tetapi di Malaysia amalan yang biasa dilakukan hanyalah menggunting sedikit clitoral hod atau melukakan dengan jarum bahagian tersebut.
Sejak tahun 2010, amalan seperti yang dilakukan di Malaysia juga dimasukkan ke dalam kategori female genital mutilation ( mutilasi genital wanita ) tahap 4. Pengkelasan oleh WHO ( world health organization ) untuk FGM adalah: Jenis 1: Ini adalah penyingkiran separa atau keseluruhan glans clitoral; Jenis 2: Ini adalah penyingkiran separa atau keseluruhan glans clitoral dan labia minora dengan atau tanpa penyingkiran labia majora (lipatan luar kulit vulva); Jenis 3: Juga dikenali sebagai infibulation, ini adalah penyempitan pembukaan faraj melalui penciptaan meterai penutup dan Jenis 4: Ini termasuk semua prosedur berbahaya lain kepada alat kelamin wanita untuk tujuan bukan perubatan, contohnya, mencucuk, menusuk, menghasut, mengikis dan cauterizing kawasan kemaluan. Tahap 4 ini hanya ditambah pada tahun 2010. Secara asanya apa sahaja perbuatan yang melibatkan pemotongan, kecederaan atau perubahan pada kemaluan kanak-kanak perempuan tanpa indikasi perubatan adalah dikategorikan sebagai mutilasi genital wanita dan dianggap sebagai penderaan kanak-kanak.
Ditegaskan amalan berkhitan berbeza dengan Mutilasi genital wanita (FGM). FGM melibatkan prosedur yang penyingkiran sebahagian atau keseluruhan alat kelamin wanita luaran, atau kecederaan lain pada organ kelamin wanita atas sebab-sebab bukan perubatan. Amalan ini tidak mempunyai manfaat kesihatan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita dan menyebabkan pendarahan dan masalah kencing yang teruk, dan kemudiannya cyst, jangkitan, serta komplikasi dalam melahirkan anak dan peningkatan risiko kematian bayi baru lahir.
Female Circumcision/ Khitan yang diamalkan di Malaysia setakat ini memang tiada indikasi perubatan yang jelas. Namun komplikasi untuk amalan ini juga adalah sangat jarang berlaku semenjak ianya dilakukan oleh para doktor yang menjaga kesterilan prosedur terlibat. Seperti male circumcision, dahulunya prosedur ini juga tidak diterima dan masih diharamkan oleh beberapa negara. Male circumcision telah dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran di bidang perubatan dan beerapa kebaikan daripada prosedur ini telah dikesan hasil daripada kajian yang dilakukan, antaranya mengurangkan jangkitan hiv dan sexually transmitted disease. Masih ada komplikasi yang boleh berlaku daripada prosedur ini, namun ianya sudah mula diterima termasuk oleh golongan bukan islam bagi menjaga kebersihan diri.
Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud “Kesucian (fitrah) itu ada lima: khitan, mencukur bulu kemaluan, mencukur bulu ketiak, memendekkan kumis, dan memotong kuku.” (HR. Bukhari Muslim). Maka, berkhitan merupakan salah satu syariat Islam yang di dalamnya terdapat banyak hikmahnya. Pada sudut kesihatan pula dengan berkhatan seseorang mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat terutama bagi wanita serta memberi keselesaan sewaktu melakukan bersetubuh, mengurangkan risiko kanser serviks, menghalang jangkitan pada saluran kencing, dan mencegah penyakit HIV. Walaupun belum ada pembuktian secara saintifik, tidak perlulah sehingga ianya diharamkan.
Wallahualam.
Oleh: Ms (Dr) Afizah Salleh
Pakar Pembedahan Am
AJK WARAK Malaysia &
Prof Madya Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi USIM,
Timbalan Presiden II PAPISMA