PUTRAJAYA – Satu sindiket pelacuran yang didalangi seorang wanita warga Indonesia sehingga mengaut untung mencecah RM2.8 juta di negara ini akhirnya tumpas.
Seramai 36 individu termasuk wanita yang dipanggil ‘Mummy’ yang menguruskan kegiatan itu berjaya diberkas dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor malam kelmarin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee berkata, pihaknya telah menggempur sebuah pusat hiburan dan rumah transit bermula jam 11.30 malam itu berjaya membawa kepada penahanan seramai 36 individu yang berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun.
Kata beliau, 33 wanita yang ditahan itu terdiri daripada 27 warga Indonesia, dua Vietnam dan Thailand (4), selain seorang pelanggan lelaki warga Bangladesh serta dua lelaki tempatan yang telah berperanan sebagai penjaga premis tersebut.
“Hasil risikan mendapati, ‘Mummy’ itu menjaga dan menguruskan wanita-wanita warga asing dalam aktiviti pelacuran di beberapa buah premis hiburan yang dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas kejadian serbuan itu, Khairul Dzaimee berkata, siasatan awal mendapati wanita-wanita asing berkenaan telah memasuki ke dalam Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang diberikan untuk tujuan melancong tetapi disalahgunakan untuk aktiviti tidak bermoral.
Ada di antara mereka yang ditahan menggunakan PLW (Pasangan Kepada Warganegara), PLS (Pengiring Kepada Pesakit), Pas Penggajian sebagai juruterapi spa, juga ada yang memiliki dokumen (Akuan Penerimaan) bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
“Sindiket ini berjaya mengaut keuntungan dianggarkan sebanyak RM2.8 juta hasil daripada kegiatan pelacuran ini.
“Siasatan juga mendapati wanita-wanita berkenaan dipercayai perlu membuat pembayaran jumlah tertentu antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada pihak ejen untuk urusan kemasukan wanita warga asing itu,” jelas beliau.
Kadar bayaran yang dikenakan terhadap setiap pelanggan bagi mendapatkan perkhidmatan seks dari wanita asing adalah lingkungan RM400 hingga RM500 sejam.
“Risikan juga mendedahkan kegiatan ini beroperasi antara jam 10 malam hingga 3 pagi yang mana pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu dalam aplikasi WhatsApp atau Telegram bagi mendapatkan perkhidmatan seks,” katanya.
Semakan ke atas semua tahanan mendapati lima wanita terdiri daripada seorang Vietnam serta empat Indonesia berada dalam Senarai Hitam Jabatan Imigresen Malaysia dan dipercayai telah memasuki negara melalui sindiket yang menyeludup kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
“Kami juga mendapati terdapat cap PLS yang disyaki palsu dimiliki oleh warga asing tersebut.
“Terdapat juga wanita yang telah ditangkap dan ditahan sebelum ini dan masih di dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya kesemua tahanan sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- MalaysiaGazette