KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terkejut dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama 12 lagi ahli mengumumkan keluar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau terkejut dengan tindakan itu kerana Dr. Mahathir selaku Pengerusi Pejuang adalah penganjur utama ke arah penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA).
Kata beliau, keputusan itu, termasuk Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Pejuang keluar GTA berpunca daripada kekalahan teruk PRU15 sehingga semua calon hilang deposit.
“Mereka ini walaupun sedar GTA baharu dan belum diluluskan termasuk Pejuang sebagai parti baharu, mereka ingat masuk bertanding pilihan raya terus menang, dapat menubuhkan kerajaan dan memegang jawatan penting.
“Rupa-rupanya inilah nafsu yang tersimpan dilubuk hati mereka, bukan teguh dan kuat berpegang kepada niat perjuangan untuk menyatupadukan umat Melayu serta melaksanakan agenda bangsa supaya bumi tidak dipijak orang.
“Mereka sendiri yang mendedah siapa mereka dan matlamat nilai perjuangan mereka. Takut kerana kebuluran dan mati kehausan, mereka terus tinggalkan jemaah dan sahabat tanpa kira bicara, termasuk anak meninggalkan bapa walaupun dunia mengenali siapa Dr. Mahathir,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir mengumumkan keluar parti Pejuang bersama 12 lagi ahli lain.
Menurut satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan GTA.
“Keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA secara langsung menyingkirkan kami daripada kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.
“Bagi kami, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti Melayu, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang berprinsip serta berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air,” kata Dr. Mahathir.
Mengulas lanjut, Ibrahim menjelaskan, kekalahan bekas Perdana Menteri itu mempertahankan Parlimen Langkawi bukan kerana tidak relevan lagi atau sudah dimamah usia.
Sebaliknya, tegas beliau, kekalahan itu disebabkan taburan wang yang tidak disangka oleh pihak lawan, yang turut menimpa kepada penyandang Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Tokoh negarawan yang ada prinsip ini tidak mudah jual maruah demi mengamalkan politik wang. Malah, anak dan bapa pun boleh berbeza pendapat, apatah lagi adik beradik serta keluarga dalam dunia politik.
“Yang berbezanya, siapa sebenarnya Pejuang dan pemimpin rakyat yang sebenar?,” soal beliau.
Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan, mereka yang bawa keluar Pejuang dari GTA adalah kerana hendak menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Atas alasan apa Mukhriz mahu bawa Pejuang sertai PH? Bukankah Kedah kini dikuasai Pas yang membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Bersatu dan Gerakan?
“Malah pilihan raya negeri ini perlu mengambil kira situasi landskap politik negara terkini, walaupun PH-Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan persekutuan.
“Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kini kubu kuat Pas. Tidak mudah untuk PH-BN memenangi PRN di negeri ini, lebih lagi majoriti orang Melayu di utara dan Pantai Timur tegas menolak DAP serta dasar PH yang liberal,” ujar beliau.
Beliau percaya, dalam masa terdekat ini, Pas dan PN tidak mudah digugat dan oleh itu wajar Mukhriz menyertai PN jika mahu menang dalam pilihan raya negeri ini serta demi masa depan politiknya.
Menurut Ibrahim lagi, peluang untuk Mukhriz sekurang-kurangnya memegang jawatan anggota Exco berada bersama PH, yang belum tentu dapat membentuk kerajaan negeri pada PRN akan datang.
Sehubungan itu, katanya, apapun keputusan dibuat Dr. Mahathir dan pimpinan Pejuang, Putra tetap memilih jalan yang penuh onak dan duri walau berkayuh dengan lidi.
“Perjuangan demi agama dan bangsa menuntut hambanya mati jika itu yang menjadi taruhan. Putra tidak akan mengamalkan kepimpinan matlamat menghalalkan cara, beretorik dan bersifat hipokrit.
“Kita manusia semuanya ada kelemahan, tapi jangan sampai seolah mengejar sesuatu seperti tiada hari esok lagi. Jika perjuangan demi agenda Islam dan Melayu mutakhir ini yang terhimpit di segenap penjuru, maka hanya yang berjiwa cekal serta semangat pengorbanan yang tinggi sahaja dapat mengharungi dugaan dan cabaran.
“Sama-sama kita berdoa semoga PH dapat menerima Pejuang sebagai anggotanya, tetapi jangan layan macam anak tiri seperti Parti Muda, yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir,” katanya.
Beliau berkata, pintu Putra terbuka untuk bekas ahli Pejuang kerana perjuangannya sama dengan pegangan parti berkenaan. – MalaysiaGazette
Parti hang pun tak nampak masa depan.. baik bubar je.. dh tak leh ke mana dh parti hang tu..