PUTRAJAYA – Perikatan Nasional sudah mengemukakan surat permohonan bertempoh 14 hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membatalkan pembekuan akaun milik parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)..
Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan SPRM itu telah merencatkan proses pengurusan perjalanan partinya lebih-lebih lagi menjelang persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri yang dijangkakan pada bila-bila masa selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Ahli Parlimen Pagoh yang juga bekas Perdana Menteri itu mengakui partinya menghadapi masalah dan kesukaran sejak akaun parti mereka dibekukan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana Covid-19 berjumlah RM600 bilion.
“Ya, memang kita hadapi masalah sejak akaun parti Bersatu dibekukan oleh SPRM yang mana segala urusan pentadbiran parti kami telah terencat sepenuhnya pasal kita tidak dapat mengeluarkan peruntukan atau wang yang ada dalam simpanan akaun untuk membayar gaji, elaun kakitangan dan lebih-lebih lagi urusan persiapan menghadapi PRN negeri nanti.
“Dengan pembekuan akaun parti saya rasa sudah lebih sebulan, sesiapa sahaja yang berdepan situasi sebegini (pembekuan akaun) akan menghadapi masalah besar…lagipun segala maklumat yang dihantar kepada siasatan SPRM adalah membabitkan audit akaun yang sangat jelas tiada sebarang penyelewengan yang dibuktikan sehingga hari ini dan tak wajar akaun kami dibekukan.
“Lagipun parti kita ini bukanlah parti yang berduit besar, parti Bersatu kita ini sebuah parti yang berjiwa miskin sahaja,” katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Radzi Jidin di Kompleks Kejiranan Presint 8, di sini.
Turut hadir memeriahkan majlis bekas Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Muhyiddin mendakwa, sehingga kini tiada satupun daripada fitnah penyelewengan dana RM600 bilion itu dapat dibuktikan.
“Saya rasa tinggal beberapa hari sahaja lagi, kita dah lama hantar surat bertempoh 14 hari meminta Azam Baki mempertimbangkan keadaan kita untuk membuat keputusan segera (batal pembekuan) dan saya yakin SPRM adalah sebuah badan profesional yang tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, baik parti pemerintah.
“Kalau SPRM dapat membantu kami mencairkan semula pembekuan akaun kita, bolehlah gerak mengeluarkan wang dan membuat persiapan di semua enam negeri yang kita akan tandingi pada pilihan raya negeri nanti.
“Sekiranya permohonan kami gagal dipertimbangkan SPRM dalam tempoh (14 hari) seperti ditetapkan, kami ada peguam yang dibincangkan bersama mengenai bentuk tindakan susulan dalam hal ini.
“Apapun saya akan akan tunggu dan lihat tindakan SPRM kepada surat kami, dan akan duduk berbincang dengan peguam kami dan akan ikut kepada nasihat mereka nanti,” ujarnya.
Mengulas mengenai PRN, katanya PN sangat yakin bukan sahaja dapat mengekalkan pemerintahan di tiga buah negeri sedia ada di bawah pentadbiran Pas, malah tiga lagi negeri bukan di bawah pentadbiran mereka juga diyakini boleh dirampas dari Pakatan Harapan.
“Saya yakin kita boleh menang semula di tiga negeri yang dikuasai Pas dan mengekalkan pemerintahan di situ manakala tiga buah negeri lain Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan diyakini boleh ditembusi dan menang beberapa kerusi di sana.
“Kami confident’ dalam perkara ini kerana perubahan besar yang berlaku dalam kalangan sikap pengundi hari ini yang nampak ketidakupayaan kerajaan di tiga negeri PH dalam menguruskan permasalahan rakyat,” kata beliau.- MalaysiaGazette