Lakaran artis Lapangan Terbang Long Thanh yang sedang dalam pembinaan.

HANOI – Vietnam menyasarkan untuk memiliki 30 lapangan terbang menjelang 2030, berbanding 22 lapangan terbang awamnya sekarang.

Pertambahan itu sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mempromosikan pelancongan dan meningkatkan industri penerbangan, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam.

Negara Asia Tenggara itu akan berusaha untuk memiliki 14 lapangan terbang antarabangsa menjelang 2030, kata pengawal selia penerbangan negara itu dalam satu kenyataan selepas menyerahkan pelan pembangunan baharu kepada Kementerian Pengangkutan.

Menurut pengendali lapangan terbangnya, Vietnam pada masa ini mempunyai 10 lapangan terbang antarabangsa, termasuk di ibu negara Hanoi, yang boleh mengendalikan 25 juta penumpang setahun dan di hab perniagaan Ho Chi Minh City, yang mempunyai kapasiti 28 juta penumpang setahun.

Lapangan Terbang Antarabangsa Long Thanh di luar Bandar Raya Ho Chi Minh, yang sedang dalam pembinaan sejak 2021, merupakan pelaburan infrastruktur lapangan terbang terbaharu negara itu.

Lapangan terbang itu, apabila beroperasi sepenuhnya, akan dapat memberi perkhidmatan kepada 100 juta setahun dan menjadi hab transit utama untuk penumpang antarabangsa.

Negara itu juga merancang untuk meluaskan pasaran domestik dengan menggunakan Lapangan Terbang Bien Hoa di selatan wilayah Dong Nai dan Lapangan Terbang Thanh Son di tengah wilayah Ninh Thuan untuk tujuan ketenteraan dan awam.

Malah, Vietnam melihat kemungkinan membuka beberapa lapangan terbang tentera lain untuk orang awam, termasuk Lapangan Terbang Gia Lam berhampiran ibu negara Hanoi. – Agensi