Fauziah Sulong tidak dapat menahan air mata mengalir berikutan kehilangan dua anak gadinya dalam nahas membabitkan kereta Perodua Myvi dan sebuah lori treler membawa muatan kelapa sawit lewat malam tadi.

MUADZAM SHAH – Hajat Suhada Ramli untuk menyambut hari jadi kakaknya, Nazira bersama ahli keluarga tidak kesampaian apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori treler membawa muatan kelapa sawit lewat malam tadi.

Kata ibu mereka, Fauziah Sulong, 59, dua beradik itu tidak pernah terlepas merancang sambutan hari Nazira yaang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik itu setiap 13 Februari.

“Dia (Nazira dan Suhada) selalu tiap-tiap tahun buat sambutan hari jadi. Kalau di rumah tu memang setiap hari jadi mereka buat sambutan.

“Saya pun tak ingat hari jadi si kakak tu esok,” kata Fauziah ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Muadzam Shah, di sini, hari ini.

Fauziah Sulong

Namun, nahas yang berlaku di Jalan Muadzam Shah menghala ke Rompin malam tadi telah meragut nyawa mereka berdua bersama seorang lagi rakan, Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Felda Selendang 1, Rompin.

Mengenang kembali detik-detik terakhir pertemuan dengan dua anaknya yang disifatkan pendiam namun manja itu, Fauziah tidak mampu menahan sebak.

Dia mengakui hairan apabila si adik (Suhada) yang berusia 22 tahun itu bekerja di sebuah kedai serbaneka di Rompin mengambil cuti separuh hari dan pulang awal pada jam 2 petang semalam.

“Hari-hari si kakak (Nazira berusia 23 tahun) ni saya hantar dan ambil pergi kerja. Adik (Suhada) bawa kereta dan biasa balik lambat. Tapi semalam dia (adik) balik awal. Pelik juga, hati tak sedap, saya telefon dia tanya kenapa balik awal, sebab berselisih kereta.

“Dia (Suhada) kata dia cuti dan ambil separuh hari, nak keluar ni makan dengan kawan sekejap lagi,” ujar Fauziah.

Memandangkan dua beradik itu kebiasaan akan melakukan apa sahaja aktiviti dan keluar berdua, Fauziah terus bertanya jika Suhada mahu membawa Nazira bersama.

Jenazah Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22 mangsa nahas Perodua Myvi merempuh treler di Jalan Rompin-Muadzam dibawa keluar selepas bedah siasat di Hospital Muadzam Shah

“Kemudian saya dan suami ambil Nazira balik kerja dan kami berhenti kereta di separuh jalan. Nazira kemudian ikut naik kereta dengan adiknya (Suhada). Dia (Suhada) nak ajak makan sebab esok hari jadi si kakak (Nazira),” tambah Fauziah.

Tidak disangka-sangka itulah kali terakhir pertemuannya dengan dua anak gadis yang disayangi sebelum mendapat perkhabaran mereka terlibat dengan kemalangan maut.

“Tiada kelainan dengan perangai mereka.

“Tapi gaji dia (Nazira) bulan ni memang banyak dibelanjakan kepada rumah ini. Kalau makan luar, dia beritahu tak perlu bayar, dia yang akan bayar. Sebelum ni buat juga, tapi tak seperti kali ini. Beri RM100 duit poket seorang,” katanya lagi sambil mengesat air mata.

Sementara itu, bagi keluarga seorang lagi mangsa nahas itu, Nurul Natasha Ahmad Akbal kehilangannya amat dirasai kerana dia dikatakan paling ceria dalam kalangan adik beradiknya dan gemar mengusik.

Ahmad Akbal Mohamad dan Faridah Husin

Bapanya, Ahmad Akbal Mohamad, 61, dan ibu Faridah Husin, 53, tidak menjangka dan masih terkejut dengan berita anak keenam daripada tujuh beradik itu terlibat kemalangan maut tersebut.

“Dia (Natasha) ada beritahu nak ke Muadzam. Biasalah kalau dia balik bercuti memang kawan-kawan ajak makan-makan.

“Memang terkejut lah. Jadi kepada anak sendiri.

“Sebenarnya saya dah masuk tidur dah pukul 11.30 tu. Sebelum masuk tidur tu saya memang tengok dia tak balik lagi. Tapi kita ingat biasa-biasa sahaja sebab dia dengan kawan-kawan dia.

“Pukul 9 lebih tu dia ada ‘message’ kakak dia yang dia dalam perjalanan balik dah. Dia dah bagitahu nak balik. Itu yang tak risau sangat,” kata Ahmad Akbal.

Dia ketika ditemui kelihatan tabah dan mengakui reda dengan pemergian anaknya yang merupakan pelajar tahun kedua Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Dia (Nurul Natasha) tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kini dia sedang menduduki peperiksaan akhir semester dan tinggal dua kertas lagi.

“Memandangkan ada jarak seminggu, dia ambil keputusan untuk pulang. Memang setiap kali pulang dia akan keluar berjumpa dengan dua rakannya yang dia kenal sejak kecil lagi,” katanya.

Ketiga-tiga jenazah dijangka akan dikebumikan petang ini dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Felda Selendang 1, Rompin.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast