Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Halatuju Strategik KKDW di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak ambil peduli dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kenyataan Ramasamy itu tidak perlu dilayan kerana beliau sudah terkenal sebagai pemimpin bermulut celupar.

“Beliau bermulut celupar dan tidak perlu layan. Biar parti dengan parti yang menanganinya,” katanya yang juga timbalan perdana menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Pembangunan Desa Dan Wilayah (KKWD) di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwa Ramasamy, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai kerana ia digunakan Dr. Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Susulan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mendesak Ramasamy meletakkan jawatan ekoran Timbalan Pengerusi DAP negeri itu didakwa kerap mengeluarkan kenyataan bersifat publisiti murahan, prejudis serta kontroversi

Bagaimanapun hari ini, Ramasamy mendakwa kenyataananya menerusi hantaran di laman Facebook yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara diputar belit beberapa penerbitan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pandangan berkenaan perkhidmatan awam adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan kedudukan parti atau pemimpinnya. – MalaysiaGazette