KUALA LUMPUR – Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta menegur Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar berhenti bersikap bermuka-muka mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti itu.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, Muhyiddin perlu berhenti mengeluarkan kenyataan memandangkan partinya sedang disiasat oleh SPRM.
“Saya nak ingatkan ahli Bersatu untuk pastikan Presiden mereka supaya jangan bermuka-muka tentang kedudukan mereka terhadap pembekuan akuan mereka oleh SPRM.
“Ini adalah peringatan mesra yang mereka perlu beritahu kepada Presiden mereka apa yang adil dan yang mana tidak adil,” katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Lembah Pantai, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata demikian mengulas laporan Bersatu Puchong yang membuat laporan terhadap SPRM.
Laporan itu merujuk perbelanjaan ‘mewah’ Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Shukor Mustaffa, mendakwa terdapat pelbagai laporan mengenai PH dan BN menggunakan poster dan bendera dalam jumlah yang banyak untuk kempen.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan pembekuan akaun oleh SPRM bertujuan membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional (PN).
Hamzah juga menuduh kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik selain mendakwa langkah itu bertujuan memesongkan perhatian rakyat terhadap ‘kelemahan, kegagalan dan amalan nepotisme’ kerajaan Anwar Ibrahim.
SPRM sebelum ini berkata, akaun Bersatu dibekukan lebih dua minggu lalu berkaitan siasatan dakwaan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.
Muhyiddin sebelum ini turut dikaitkan dengan penglibatan dalam pemberian kontrak yang didakwa mempunyai kaitan dengan menantunya, Adlan Berhan.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menafikan dakwaan tersebut selepas suruhanjaya tersebut dilaporkan sedang menyiasat penganugerahan kontrak itu atas alasan kemungkinan salah guna kuasa dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe). – MalaysiaGazette