Perdana Menteri pada majlis hi-tea bersama pemimpin masyarakat India di Seri Perdana.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam memastikan isu-isu yang membelenggu masyarakat India di negara ini terus diselesaikan.

MalaysiaGazette difahamkan Anwar telah mengadakan satu sesi pertemuan dengan pemimpin dan pihak berwajib lain seperti pimpinan NGO, kuil, aktivis dan beberapa lagi bagi membincangkan situasi terkini masalah-masalah dihadapi golongan itu, semalam.

Dalam pertemuan itu, antara yang telah beliau ikrar ialah memastikan semua isu-isu berkaitan kaum India diselesaikan olehnya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Anwar mendedahkan pendidikan akan menjadi satu fokus dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Feb ini.

Susulan daripada pertemuan itu, Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan turut melahirkan rasa positif beliau selain harapan tinggi agar komuniti yang diwakili olehnya akan terus mendapat perhatian Perdana Menteri.

“Perdana Menteri telah memberikan ikrar beliau bahawa kerajaan akan memastikan fokus dan perhatian akan diberikan kepada sekolah-sekolah daif terutamanya sekolah Cina dan India selain memperkasakan lagi tahap pendidikan negara. Pastinya ini satu berita baik bagi semua khasnya masyarakat India. Ini yang kita hendak.

“Pada masa sama kita juga amat berharap agar Perdana Menteri juga dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan ekonomi, sosial, kemiskinan, pekerjaan dan lain-lain yang telah begitu lama menghantui masyarakat India. Ini juga masa untuk masyarakat India mempergunakan peluang-peluang dan inisiatif kerajaan untuk masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, M Vivekananthan berkata, bukan sesuatu yang baharu isu-isu melibatkan masyarakat India diketengahkan bukan sahaja ketika kempen Pilihan Raya sebaliknya pada setiap masa.

“Isu-isu berkaitan masyarakat India ini agak kritikal dan sememangnya kerajaan tidak boleh berharap masyarakat dapat tangani ianya sendiri. Saya beri contoh seperti pendidikan yang mana ramai murid sekolah Tamil tercicir daripada sistem pendidikan sebaik masuk sekolah menengah.

“Satu sebab utama ialah mereka tidak fasih dan mampu bercakap dengan baik atau mempunyai pemahaman yang betul tidak kira bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris. Guru sekolah Tamil dan pengurusan juga perlu mainkan peranan dalam isu-isu ini bagi pastikan dapat meningkatkan kualiti sekolah dan pelajarnya.

“Saya berharap Perdana Menteri keprihatinan akan membawa maksud yang mendalam dan erti yang baik. Mungkin ada baiknya jika pihak berwajib mewujudkan satu badan pemikir yang berkecuali dan berwibawa mampu di wujudkan bagi memastikan isu dan jalan penyelesaian dapat di cari bagi masyarakat kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette