DENGAR khabar, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hampir pasti bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung Jun atau Julai ini.
Difahamkan, pembahagian kerusi adalah secara status quo di mana BN dan PH masing-masing mempertahankan kerusi yang disandang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Jika formula itu dipersetujui dan diguna pakai, PH akan bertanding di 20 kerusi DUN di mana 11 kerusi disandang DAP manakala BN bakal mempertahankan 16 kerusi DUN termasuk 15 kerusi yang disandang UMNO.
Dari sudut positif, pakatan pilihan raya antara BN dan PH berupaya memantapkan lagi gerak kerja jentera bagi menghadapi cabaran daripada Perikatan Nasional (PN) yang mahu menguasai Negeri Sembilan buat kali pertama.
Saingan daripada PN tidak boleh dipandang ringan kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk memancing bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dengan tawaran sebagai calon Menteri Besar sekiranya mereka menang.
Justeru, pakatan pilihan raya BN-PH mampu mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih di 36 DUN yang dilihat boleh memberi kelebihan kepada PN.
Namun sekiranya pakatan pilihan raya itu benar-benar berlaku, BN terpaksa melupakan hasrat untuk kembali menjadi parti pemerintah yang dominan di Negeri Sembilan kerana ia perlu berkongsi kuasa dengan PH.
Jika BN-PH memenangi PRN Negeri Sembilan, pentadbiran yang bakal dibentuk akan mengguna pakai acuan Kerajaan Perpaduan sama seperti di peringkat Persekutuan.
Pada masa yang sama, UMNO terpaksa melupakan hasrat untuk merampas semula kerusi-kerusi tradisinya yang disandang sebelum PRU14 iaitu Klawang, Labu, Lenggeng, Paroi dan Pilah.
MCA dan MIC juga mungkin tidak dapat bertanding di 13 kerusi DUN di kawasan bandar atau pinggir bandar yang ketika ini disandang oleh DAP dan PKR sekali gus menutup peluang untuk kedua-dua parti komponen BN itu untuk bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan bagaimana penyelarasan gerak kerja jentera akar umbi BN dan PH akan dilakukan agar ‘gegaran’ dapat diminimumkan sebelum dan semasa kempen PRN bermula.
Adakah jentera UMNO bersedia untuk membantu kempen calon PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah)? Mahukah jentera MCA dan MIC berganding bahu dengan ‘rakan-rakan baharu’ dari DAP?
Persoalan yang sama juga akan timbul dalam kem PH, lebih-lebih lagi di kerusi-kerusi yang masih lagi dianggap sebagai kubu kuat UMNO.
Harus diakui bukan mudah untuk meyakinkan ahli-ahli dan para penyokong tegar semua parti terbabit untuk bekerja sebagai satu pasukan memandangkan BN merupakan musuh ketat PH sebelum ini.
Sehubungan itu, adalah lebih baik sekiranya keresahan akar umbi ditangani dengan baik dan berkesan terlebih dahulu sebelum pembahagian kerusi dimuktamadkan.
Jika tidak, dikhuatiri akan berlaku ‘gempa bumi’ yang boleh merenggangkan pakatan pilihan raya yang bakal dibentuk kelak. – MalaysiaGazette