KUALA LUMPUR – Mangsa kedua kanak-kanak berusia 10 tahun yang hilang dihanyutkan arus deras selepas tergelincir jatuh semasa bermain di tepi longkang di kawasan perumahan Ukay Perdana, Ampang, di sini, ditemui hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mayat mangsa yang dikenalpasti sebagai Muhammad Rizqullah Mohd Shafie ditemui di dalam timbunan sampah kira-kira jam 5.10 petang tadi.
“Mayat mangsa ditemui di dalam timbunan sampah dan batu-batuan pada jarak 400 meter ke bawah daripada lokasi asal insiden mangsa dihanyutkan arus deras kelmarin,” katanya, hari ini.
Dalam kejadian jam 4.44 petang Sabtu lalu, dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun bermain di longkang ketika hujan lebat sebelum kedua-dua mereka dikatakanterjatuh dalam longkang tersebut dan dihanyutkan arus deras.
Bagaimanapun, mangsa berusia lapan tahun, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan ditemui pada jam 6.30 petang pada hari sama kira-kira 200 meter dari tempat kejadian itu.
Bagaimanapun, rakannya berusia 10 tahun hilang dalam arus deras sebelum misi pencarian digerakkan.
Katanya, usaha mengeluarkan mangsa sedang dilaksanakan oleh anggota bomba. – MalaysiaGazette