Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim . Foto AFFAN FAUZI, 13 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Masih menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung siasatan membabitkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) di Pahang pada tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan telah diserahkan untuk tindakan lanjut TPR pada tahun lepas.

“Kita sudah kemukakan kertas siasatan kes berkenaan kepada TPR pada tahun lepas dan masih menunggu arahan lanjut daripada TPR dalam perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada 5 Disember lalu, Abdul Hadi hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul susulan laporan polis yang dibuat ke atas beliau oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pada 10 November 2022.

Dalam laporan itu, Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengaitkan fahaman komunis dengan PH semasa berceramah di Temerloh, Pahang.

Dalam pada itu, ditanya tentang siasatan mengenai bantahan aman di hadapan kedutaan Belanda dan Sweden 27 Januari lalu berikutan tindakan membakar al-Quran di luar negara, Azmi berkata, kertas siasatan akan dikemukakan kepada TPR pada Rabu ini.

“Kita sedang dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan itu dan setakat ini seramai 14 individu telah dipanggil dan selesai diambil percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mengesan dua perhimpunan membantah pembakaran Al-Quran telah diadakan oleh beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di hadapan Kedutaan Belanda dan Sweden selepas solat Jumaat.

Pemerhatian polis mendapati kira-kira 80 orang telah menyertai perhimpunan itu yang diadakan di hadapan Kedutaan Belanda dan hampir 400 orang menyertai perhimpunan di hadapan Kedutaan Sweden sebagai bantahan terhadap tindakan biadap ahli politik negara berkenaan yang membakar al-Quran.

Pemimpin kumpulan sayap kanan Belanda, Patriotik Eropah Menentang Islamisasi Barat (PEGIDA), Edwin Wagensveld dilaporkan telah memusnahkan naskhah al-Quran sebelum membakarnya bulan lepas beberapa hari selepas kejadian sama di Sweden oleh pemimpin parti politik sayap kanan, Denmark Hard Lineketika Rasmus Paludan, ketika bantahan terhadap Turki pada 21 Januari lalu.

Paludan bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – MalaysiaGazette