Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoal tindakan individu yang mempergunakan isu perkauman dalam politik.

Beliau yang juga yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat berkata, sepatutnya isu tersebut tidak hanya diletakkan kepada orang Melayu dan Islam sahaja.

“Pakar Perlembagaan pun ada yang buta sejarah. Kalau sejarah yang telah berlalu dan dicatat dalam lembar kertas dan disampaikan secara lisan pun dia buta, bagaimana dia hendak membaca realiti semasa.

“Pasai apa isu perkauman yang dituduhnya itu hanya dilambakkan salahnya kepada orang Melayu dan Islam sahaja?

“Apakah kerana dia tidak faham orang sebelah dia sedang bercakap tentang apa?” soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang meminta Kerajaan Perpaduan melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, terdapat kaum yang hanya memilih untuk mengundi satu parti sahaja.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan secara mendalam kaum yang dimaksudkan itu.

“Apakah dia belum sedar ada satu kaum yang hampir semuanya mengundi satu parti sahaja iaitu parti dia dan parti kawan-kawan dia. Kalau piring terbang, kalau mangkok…?,” ujarnya.

Kenyataan Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang baru-baru ini mengundang pelbagai kritikan baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.

Susulan kontroversi itu, beberapa pihak termasuk parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan menggesa Ramasamy dipecat kerana kerap mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis. – MalaysiaGazette