Tourism Pahang rai ketibaan 1,900 pelancong kapal persiaran Westerdam

KUANTAN – Tourism Pahang meraikan ketibaan kapal persiaran Westerdam di Terminal Laut Dalam (NDWT), Pelabuhan Kuantan semalam yang membawa lebih 1,900 penumpang.

Tourism Pahang berkata, pelancong berkenaan akan dibawa melawat beberapa destinasi pelancongan di daerah Kuantan seperti Sungai Lembing, Pantai Teluk Cempedak, Masjid Sultan Ahmad Shah dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan yang lain.

“Perkembangan ini memperlihat pertambahan jumlah pelancong ke negeri Pahang yang semakin memberansangkan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man; Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Razihan Adzharuddin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Bandar Raya Kuantan

Menurut statistik Tourism Pahang, lebih 10 juta pelancong direkodkan mengunjungi 21 lokasi menarik di negeri ini pada tahun lalu berbanding kira-kira 2 juta dalam tempoh sama 2021.

Katanya, peningkatan ketibaan pelancong itu meningkatkan jumlah perbelanjaan pelancong sehingga 360% tahun lalu iaitu sebanyak RM9.147 bilion berbanding RM1.986 bilion pada 2021.

Menurut kenyataan itu, daripada jumlah pelancong tersebut, seramai 73,520 pelancong adalah warga China, Singapura (12,908), Vietnam (6,134), India (5,714), Indonesia (4,896), Pakistan (3,742), Filipina (3,090), Korea Selatan (2,684), Thailand (2,372), Bangladesh (2,058) dan Hong Kong (2,016).

Tambahnya, bagi merancakkan lagi industri pelancong negeri dan menarik lebih ramai pelancong asing, Tourism Pahang telah merangka pelbagai program serta jalinan kerjasama dengan agensi dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.

Katanya, ia selari dengan sasaran kerajaan negeri yang mengunjurkan sebanyak 13 juta pelancong dalam dan luar negara melawat Pahang pada tahun ini. – MalaysiaGazette