Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media selepas melancarkan ‘Arts on the Move’ di MRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 2.5 juta pengguna telah memuat turun dan mendaftar akaun menggunakan aplikasi MyJPJ sejak ia dilancarkan, Jumaat lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sambutan yang menggalakkan itu menyebabkan sistem tersebut mengalami sedikit gangguan teknikal sejak empat hari diperkenalkan.

Bagaimanapun katanya, gangguan teknikal hanya bersifat sementara dan sistem yang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu sudah kembali stabil dan boleh diakses orang ramai.

“Hari pertama dan kedua ada sedikit masalah teknikal, tetapi setakat hari ini, saya dapat laporan, ia sudah begitu stabil.

“Sejak hari pertama saya umumkan, sekarang ini hampir 2.5 juta pengguna telah mendaftarkan ID.

“Malah setakat ini, 2.5 juta pengguna juga sudah dapat lesen atau cukai jalan mereka secara digital,” katanya pada sidang media, di Stesen MRT Pasar Seni, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, orang ramai mendakwa sistem itu dikatakan gagal diakses dan ID pengguna tidak dapat didaftarkan pada hari pertama dan kedua selepas ia dilancarkan.

Tambahnya, sistem MyJPJ mengalami gangguan teknikal selepas lebih 500,000 pengguna cuba mendaftar secara serentak, Jumaat lalu.

“Ada satu ketika pada 10 Februari pada satu saat ada lebih 500,000 orang nak mendaftar pada masa sama.

“Sudah tentu ada sedikit kelambatan, tapi kita sudah memperbetulkan dan perbaiki, dan setakat ini sistem itu sudah stabil,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast