Jenin
Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2022.

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye malam ini bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas kira-kira pukul 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Sebelum berlepas, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Zamri Zainal Abidin membacakan doa bagi memohon keselamatan delegasi Anwar ke Turkiye.

Lawatan sehari Anwar itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Amrizan Mohd Ali.

Anwar membuat keputusan untuk mengadakan lawatan mengejut itu atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye.

Perdana Menteri dijangka tiba di Gaziantep pada 7.30 pagi esok (waktu tempatan) untuk meninjau lokasi bencana dan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.

Beliau dijangka berlepas pulang ke tanah air pada 2 petang (waktu tempatan) dan tiba pada 7 pagi Khamis (waktu Malaysia) sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat pra-Kabinet.

Pada 11 Februari lepas, Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba daripada lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.

Anwar telah menunjukkan komitmen dan solidariti kepada rakyat negara itu dengan menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membina Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain bantuan tenaga kerja bagi misi mencari dan menyelamat (SAR), Malaysia turut menyalurkan bantuan dana kemanusiaan kepada Turkiye dan Syria sebanyak RM20 juta, manakala Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri sehingga kini berjaya mengutip sumbangan mencecah kira-kira RM25 juta.

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye dan Syria.

Setakat semalam, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang dan 106,428 lagi cedera manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera. – Bernama