BERLIN – Seorang pengarah balet Jerman yang pernah memenangi anugerah telah digantung kerja selepas mencalit najis anjing pada muka seorang pengkritik.
Marco Goecke berang dengan ulasan seorang wartawan, Wiebke Huster mengenai salah satu rancangannya.
Dia didakwa telah bersemuka dengan Huster semasa waktu rehat satu persembahan lalu mencalit najis anjing yang dibawa di dalam beg kertas ke wajah wanita itu.
Majikan Huster, Frankfurter Allgemeine Zeitung (FAZ), berkata, polis sedang menyiasat kes tersebut.
Huster yang membuat penilaian terhadap rancangan Goecke, In The Dutch Mountains, yang didakwanya ‘mengecewakan dan penuh kebosanan’.
Mengulas kejadian itu kepada BBC, Huster berkata, dia terkejut dengan serangan Goecke yang disifatkan kejam.
“Apabila saya menyedari apa yang berlaku, saya menjerit, saya panik… Saya boleh memberi jaminan bahawa ia bukan tindakan impulsif (tergesa-gesa) tetapi telah merancang untuk melakukan ini.
Saya menganggapnya sebagai tindakan yang bertentangan dengan kebebasan akhbar,” katanya.
Goecke berkata, penilaian teruk oleh Huster itu telah merugikan langganan Hanover Opera House.
Bagaimanapun Hanover Opera House telah mengenakan penggantungan ke atas Goecke berkuat kuasa serta-merta kerana serangan yang dibuat itu bertentangan dengan peraturan.
Mereka berkata, Goecke “amat meresahkan penonton, pekerja dan orang awam, selain merosakkan Balet Negera secara ‘besar-besaran’.
Selain itu, integriti Huster telah dicabuli secara terang-terangan.
Akhbar FAZ, tempat Huster bekerja, menyifatkan insiden itu sebagai percubaan untuk menakut-nakutkan pandangan bebas dan kritis media terhadap seni.
Goecke telah menjadi pengarah di Teater Hanover sejak 2019 dan memenangi hadiah Tarian Jerman 2022. – Agensi