PETALING JAYA – “Kau ingat kau bagus sangat? Kau ingat kau cantik sangat? Fu*k! Bit*h!”.
Itu keterangan Nur Shaira Ayu Zahiri, 29, bagi mengulas kata-kata kesat dikeluarkan bekas suaminya yang merupakan vokalis kumpulan OAG, Muhammad Radhi Razali apabila menolak untuk berswafoto bersama.
Shaira yang merupakan saksi pertama atas dakwaan dipukul serta dicederakan Radhi berkata, pertikaman mulut tersebut berlaku di pakir sebuah kondominium di Damansara pada 19 April tahun lalu.
Jelas Shaira, kejadian bermula apabila dia mahu mengambil anak lelakinya, Muhammad di kediaman Radhi di Emporis Damansara dengan ditemani anak perempuannya, kakaknya serta tiga lagi anak buahnya.
Selepas mengambil Muhammad, dia turun ke parkir dan Radhi tampil untuk berbincang mengenai soal anak di tepi kereta.
“Radhi kemudian ajak saya berswafoto dalam kereta guna telefonnya. Saya cakap tidak mahu ambil gambar macam itu, tak perlu nak peluk dan berswafoto kerana sudah bercerai.
“Kalau nak bergambar, ambil di luar kereta dan itu permulaan Radhi marah. Dia jerit depan muka saya termasuk keluarkan perkataan kesat kerana marah kenapa tidak boleh berbaik untuk ambil gambar.
“Saya cakap elok-elok masa perbalahan berlaku. Kenapa perlu marah? Kita ada kehidupan masing-masing dan tidak perlu ambil gambar sebegini,” ujasnya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Hussain.
Berikutan itu, dia memberitahu, berlaku insiden tolak menolak serta perbalahan sehingga kakaknya tampil meleraikan pergaduhan tersebut.
Dalam prosiding sama, ketika pemeriksaan balas peguam, Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili Radhi, Syaira mengakui ada memukul Radhi bagi mempertahan diri.
Shaira berkata, ekoran kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara selain mengesahkan terdapat kesan lebam pada pergelangan tangan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol yang berlangsung di Mahkamah Majistret di sini bersambung pada 21 Jun ini.
Mengikut pertuduhan, Radhi, 46, dengan sengaja mencederakan bekas isterinya, Nur Shaira Ayu pada 19 April lalu sekitar jam 2.29 petang di Emporis Damansara, Kota Damansara.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 itu dikurniakan dua cahaya mata, Nur Aisyah dan Muhammad masing-masing berusia lapan dan tujuh tahun. – MalaysiaGazette