KUALA LUMPUR – Pemimpin dengan idealogi salah akan musnahkan masa depan negara, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Pembangkang itu berkata, dasar yang ingin dipamerkan Kerajaan Perpaduan iaitu Madani hendaklah jelas dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Kalau elok pemimpinnya, isyaAllah eloklah bangsanya, tapi kalau rosak pemimpinnya dengan membawa idealogi yang salah dan tidak bertanggungjawab.
“Maka musnahlah masa depan anak bangsa dan negara,” katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih ke bawah titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15 (PRU15), semalam.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kegagalan kerajaan campuran menangani dengan cermat isu-isu geopolitik akan menjejaskan secara keseluruhan aspek rantaian bekalan, kewangan, nilai mata wang dan ekonomi.
Jelasnya, kepercayaan pelabur mesti diutamakan dengan Putrajaya perlu ada dasar yang menarik dengan insentif-insentif yang akan memberi situasi menang-menang.
“Beberapa struktur pemudahcara perniagaan dan perdagangan yang sedia ada, harus diubah bagi menjadikan Malaysia lebih kompetitif berbanding negara-negara pesaing kita terutama dari aspek polisi dan keselamatan.
“Komitmen ini penting kerana ia akan memberikan keyakinan kepada para pelabur,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sudah dipadamkan.
Hamzah berkata, ia dibuat melalui perintah surat pekeliling kerajaan.
“Saya nak bertanya, apakah sesuatu dasar serta polisi yang telah diluluskan di Parlimen ini boleh diketepikan begitu sahaja.
“Wawasan Kemakmuran Bersama tidak dibuat hanya kerana suka-suka. Ianya mengambil masa yang panjang sehingga dua–tiga tahun untuk dirangka, dan semua agensi kerajaan sudah jelas tentang hala tuju serta objektif yang hendak kita capai menjelang 2030. Di manakah tempatnya Wawasan Kemakmuran Bersama ini?,” soal Hamzah.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, Perikatan Nasional (PN) akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan berwibawa serta berintegriti tinggi.
Hamzah berkata, selaku pembangkang, pihaknya tidak mahu menggugat kerajaan sedia ada tetapi demi memastikan negara ditadbir dengan betul.
“Kritikan kami bukan disebabkan perbezaan politik tetapi dibuat atas kesedaran kepentingan ummah. Jika ada yang baik daripada kerajaan, insya-Allah kami akan sokong,” katanya. – MalaysiaGazette