Perodua Axia serba baharu yang dilancarkan hari ini ditawarkan dengan empat varian iaitu G, X, SE dan AV.

KUALA LUMPUR – Perodua Axia serba baharu yang dilancarkan hari ini sudah menerima tempahan lebih 20,000 sejak dibuka pada 31 Januari lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, fokus pengeluar model baharu ini terbahagi kepada dua iaitu memaksimumkan penghantaran kepada pelanggan dan menukar tempahan Axia generasi sebelumnya kepada Axia serba baharu.

“Daripada 44,000 tempahan sedia ada, Perodua dapat meyakinkan 13,600 pelanggan untuk menukar kepada model terbaharu.

“Digabung dengan lebih 6,500 tempahan baharu, kami memiliki jumlah tempahan sebanyak 20,100 unit.

“Kami amat bersyukur dan terdorong dengan sokongan yang ditunjukkan oleh pelanggan untuk model baharu ini serta untuk semua produk dan perkhidmatan kami,” katanya pada majlis pelancaran Perodua Axia serba baharu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Zainal Abidin berkata, Perodua menyasarkan untuk menjual sebanyak 5,700 unit sebulan, menjadikan sasaran pengeluaran tahunan model itu melebihi 82,000.

“Sasaran 314,000 pendaftaran dan 330,000 pengeluaran kami untuk tahun ini menggambarkan komitmen kami untuk memastikan tempahan anda dapat dihantar dalam masa yang terbaik tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Jelas Zainal Abidin, ciri-iri nilai tambah jika dibandingkan dengan model lama adalah berbeza kerana model serba baharu ini diperhalusi dalam semua aspek keselesaan, ruang, keselamatan, saiz dan estetika.

“Dari segi keselamatan, Perodua Axia serba baharu mendapat penarafan empat-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP),” katanya.

Model kompak mampu milik itu menggunakan enjin D-CVT (Dwi-Mod CVT) dengan penggunaan bahan api berpotenasi mencecah sehingga 27.4 kilometer per kilometer berdasarkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC).

Perodua Axia serba baharu ditawarkan dengan empat varian iaitu G (bermula RM38,600); X (RM40,000); SE (RM44,000); dan AV (RM49,500).

Ia didatangkan dengan lima pilihan warna baharu iaitu Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) Dan Coral Blue (baharu). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast