SHAH ALAM – Tiga daripada empat Pembantu Perawatan Kesihatan, Unit Forensik Hospital Serdang (UFHS) mengaku bersalah atas tuduhan menerima wang suapan dan masing-masing dijatuhkan hukuman penjara lima, empat dan tiga bulan.
Manakala seorang lagi, Hairul Nizam Idris, 39, mengaku tidak bersalah atas perbuatan itu dan minta dibicarakan.
Tertuduh yang mengaku bersalah ialah Mohd Shah Rizan Yasak, 43; dikenakan penjara lima bulan oleh Hakim Mahkamah Majistret 1 Shah Alam, Datuk Rozilah Salleh kerana menerima suapan berjumlah RM6,250.
Rakannya, Mohd Riduan Ibrahim, 41, dikenakan hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 atas kesalahan menerima wang rasuah berjumlah RM3,550 pada 18 Mac 2018 hingga 18 Julai 2019.
Tertuduh ketiga, Muhamad Yusri Yusof, 36, turut mengaku bersalah menerima wang suapan berjumlah RM1,100 dan dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara serta RM5,000 denda.
Tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Masing-masing yang tidak diwakili peguam membela diri dengan meminta hakim mengurangkan hukuman penjara dan denda memandangkan mereka sudah insaf dan bertaubat dengan perbuatan itu.
Mereka, dalam nada sebak dan ada yang menangis mengharapkan budi bicara hakim dalam meringankan hukuman itu memandangkan perbuatan yang dilakukan adalah kesalahan pertama, selain perlu menanggung keluarga, ibu dan bapa yang mengidap penyakit.
Sementara itu, Hairul Nizam yang mengaku tidak bersalah menerima rasuah berjumlah RM1,100 dikenakan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran setiap awal bulan.
Perbuatan mereka ialah menerima suapan daripada pemilik Syarikat Nur Fattah Training & Consultancy, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid sebagai dorongan memberikan kerja pengurusan jenazah dari UFHS kepada syarikat itu. – MalaysiaGazette