PUTRAJAYA – Tiga pengarah sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15 juta untuk projek pembinaan sebuah pengkalan di Pahang.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam semalam selepas memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi tadi untuk permohonan perintah reman oleh SPRM.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang mendengar permohonan itu kemudian membenarkan ketiga-tiga individu itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk membantu siasatan lanjut suruhanjaya tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi hari mengesahkan tangkapan ketiga-tiga individu tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette